MB PAHANG AJAK KETUA PEMBANGKANG BERTUMBUK DALAM DUN

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mencabar ketua pembangkang negeri itu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji untuk bertumbuk, selepas perang mulut di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pertengkaran bermula apabila Tengku Zulpuri yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Mentakab berkata kerajaan negeri patut memberi lebih peruntukan untuk menangani masalah banjir di kawasannya.

Ia mencetuskan perang mulut antara Adnan dan Tengku Zulpuri, termasuk sama ada banjir yang menimpa Pulau Pinang baru-baru ini sebagai ‘bala Tuhan’ atau tidak.

Tengku Zulpuri yang juga naib pengerusi DAP berkata, mengaitkan krisis itu sebagai balasan Tuhan terhadap “festival arak” adalah sesuatu yang tidak relevan, kerana banjir turut berlaku di tempat lain seperti Jedah, Arab Saudi, baru-baru ini.

Pada satu ketika, Adnan yang jelas marah berkata; “Keluar dewan saja”, membayangkan agar pertelingkahan antaranya dan Tengku Zulpuri diselesaikan di luar dewan.

Adnan juga beberapa kali didengar berkata, “Islam ke kafir?”

Menurut laporan China Press, Adnan pada satu ketika berkata beliau sanggup mencatat sejarah dengan bertumbuk dalam Dewan Undangan Negeri.

Namun Speaker DUN Datuk Seri Ishak Muhammad berjaya menenangkan mereka berdua dan menerima usul Adnan agar sidang ditangguhkan, walaupun Tengku Zulpuri masih belum selesai menyampaikan perbahasannya.

Beberapa saksi berkata Adnan berkata kepada Tengku Zulpuri agar pergi ke kawasan wakil rakyat kerajaan dan mengancam untuk menumbuknya.

Menurut saksi lagi, Tengku Zulpuri membalasnya dengan berkata, beliau sedia ditumbuk dan tidak akan membalasnya.

Bagaimanapun ADUN kedua-dua pihak berjaya mengelakkan Adnan dan Tengku Zulpuri daripada mendekati satu sama lain.

Usaha menghubungi Adnan dan Tengku Zulpuri untuk mengulas perkara itu masih belum berjaya.

Rakaman video di bawah yang dikongsi isteri Tengku Zulpuri di Facebook menunjukkan pertengkaran yang berlaku ketika sidang, namun tidak menunjukkan situasi selepas ia ditangguhkan.

– M’kini

.