Mayat bayi busuk, berulat dibuang atas tong sampah hospital

IPOH – Seorang lelaki terkejut apabila menemui mayat bayi yang sudah busuk dan berulat ketika sedang memunggah tong sampah berhampiran kafeteria Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada pagi Sabtu.

Pekerja pembersihan di hospital tersebut Nor Hanizam Idris, 46, berkata dia menemukan mayat bayi itu selepas bungkusan plastik yang berada di atas tong sampah terjatuh ke atas lantai.

Katanya, semasa kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu, dia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bersama rakannya.

“Semasa saya sedang memunggah sampah antara tiga buah tong, terdapat satu bungkusan plastik telah terjatuh ke atas lantai dari salah sebuah tong itu.

“Saya terkejut apabila melihat objek yang terkeluar dari bungkusan itu menyerupai bayi dan sejurus selepas memeriksanya, saya dapati objek tersebut merupakan mayat bayi yang cukup
sifat namun telah busuk dan berulat,” katanya ketika ditemui di sini pada petang Sabtu.

Tambahnya,beliau pada mulanya tidak pasti dengan objek yang dijumpainya kerana saiz bayi itu yang masih kecil.

“Selepas rakan-rakan mengatakan objek itu adalah mayat bayi, saya terus bergegas membuat laporan polis di pondok polis hospital,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sejurus menerima maklumat, pihaknya ke lokasi penemuan mayat itu yang terletak di luar bangunan kafeteria hospital tersebut.

Katanya, mayat bayi itu belum dikenal pasti jantina dan bangsanya dan telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat pada Isnin ini.

Sementara itu, beliau berkata seorang pengawal keselamatan hospital memaklumkan bahawa dia ada ternampak seorang lelaki dan wanita bertengkar berhampiran tempat mayat itu dijumpai pada pagi Isnin lepas.
Sum berkata pihaknya sedang mengesan saksi-saksi yang melihat kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan. –¬†http://www.astroawani.com/

.