Mat Sabu tak faham pendirian baru PAS pada BERSIH

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu hari ini berkata beliau tidak faham terhadap pendirian baru parti lamanya yang tidak lagi menggalakkan anggotanya menyertai himpunan BERSIH.

“BERSIH adalah anak saya, saya adalah komander BERSIH 1, 2 dan semua pemimpin PAS hadir.

“Jadi, perubahan pendirian PAS (terhadap BERSIH5) mereka itu saya tidak fahamlah.

“Sebelum ini surat khabar (rasmi PAS) Harakah isytihar semua anggota PAS kena hadir dalam himpunan BERSIH tapi kenapa mereka buat perubahan itu kena tanya di pihak mereka,” kata Mat Sabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa bahawa bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini mewajibkan anggota PAS menyertai BERSIH.

Bagaimanapun, PAS telah memutuskan untuk tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5, walaupun pada prinsipnya menyokong matlamat asal gabungan itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilapor berkata, BERSIH 5 mempunyai banyak matlamat lain yang dirasakan tidak selari dengan pendekatan parti itu pada masa kini.

Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Takiyuddin menjelaskan penyertaan mereka sebelum ini atas sebab-sebab tertentu.

“Mungkin allahyarham (Nik Aziz) ada lagi hari ini mungkin beliau akan kata tak perlu kot (hadir BERSIH). Saya pun boleh buat andaian begitu.

“Memang dulu kita menyertai BERSIH tapi atas sebab-sebab tertentu tapi kali ini kita buat keputusan untuk tidak menyertai BERSIH,” katanya.

Himpunan BERSIH 5 bertemakan Malaysia akan diadakan pada 19 November ini di ibu negara.

– M’kini

.