MAT SABU: MALAYSIA ADA MASALAH INTEGRITI

SHAH ALAM – “Masalah di Malaysia adalah integriti,” demikian kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Menurutnya, Malaysia menghadapi masalah dalam mentadbir dan apa yang dilihat kini nilai integriti mulai hilang terutama membabitkan pegawai kerajaan.

“Integriti orang politik kini menjadi konsep lindungi dan melarat dalam agensi kerajaan. Jika diselidiki, banyak badan agensi melakukan masalah ini termasuklah Felda,” katanya dalam Konvensyen Warga Felda, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, dekat sini, hari ini.
Justeru, Mohamad Sabu memberitahu, cara paling berkesan sekali hendak mengubah nasib rakyat adalah dengan mengubah pemerintah dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, selepas pemerintahan negara ditukar, baharulah suruhanjaya bebas boleh ditubuh bagi menyiasat masalah-masalah sebegini.

“Saya tabik SPRM….mereka selidik, mereka siasat. Oleh itu, apa yang boleh kita buat adalah kerja kuat. Paling penting tukar kerajaaan kerana ini yang boleh kita selamatkan.

“Tetapi, bila kita tukar pemerintah, tapi pemerinta itu tak buat kerja, tukarlah lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, masanya sudah tiba untuk mengubah dasar negara.

“Masa sudah sampai untuk kita ‘reset’ semula dasar negara. Mana baik kita kekalkan, mana tidak baik kita ubah.

“Oleh kerana budaya kleptokrasi ini wujud, sebab itu kita perlu basmikan budaya ini. kita perlu mula semula supaya kita lebih baik,” katanya.

– SH

.