Mat Puling ditangkap lagi

BUKIT MERTAJAM – Tidak serik melakukan jenayah. Itu yang boleh dikatakan terhadap seorang lelaki apabila dia yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara Mac lalu ditahan semula kerana disyaki melakukan jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar negeri ini.

Suspek yang dikenali sebagai Mat Puling, 37, ditahan bersama empat lagi rakan jenayah termasuk isterinya dalam tiga serbuan berasingan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, hasil risikan dan maklumat awam pihaknya berjaya mengesan suspek dan rakannya di sebuah rumah di Kampung Selamat, Tasek Gelugor pada jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan isterinya yang berusia 29 tahun di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah selain dua lelaki yang masing-masing berusia 21 tahun di kawasan Bukit Mertajam pada hari yang sama.

“Mat Puling dan rakannya yang ditahan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disyaki terlibat dengan kes samun seorang pensyarah sebuah universiti di sini di kawasan tali air, Jalan Kubang Semang pada 23 Ogos lalu.

“Hasil siasatan lanjut akhirnya membongkar kegiatan kumpulan ini yang aktif melakukan jenayah di sekitar negeri ini, Kedah dan Perak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, ketika serbuan dilakukan pihaknya berjaya menemui beberapa motosikal yang disyaki dicuri selain rangka dan komponen motosikal yang dileraikan daripada kumpulan terbabit.

Selain itu, turut ditemui beberapa buah telefon pintar, emas yang telah dileburkan dan beberapa keping surat pajak gadai.

Katanya, semakan dibuat mendapati Mat Puling mempunyai 16 rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan samun manakala isterinya juga mempunyai satu rekod kesalahan dadah.

“Kita turut menahan empat lelaki yang merupakan pembeli barangan yang dicuri oleh kumpulan terbabit dan kesemuanya kini direman sehingga esok.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini kita berjaya menyelesaikan lebih 10 kes jenayah yang dilakukan kumpulan terbabit,”katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,Seksyen 427 Kanun Keseksaan kenana melakukan khianat dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Sementara Mat Puling ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) untuk siasatan lanjut. – SH

.