MASYARAKAT KRISTIAN MESTI RELEVAN SECARA POLITIK, KATA MENTERI

Masyarakat Kristian di Malaysia mesti relevan dari sudut politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

Bercakap pada majlis minum petang tahunan Persatuan Kristian Malaysia di Kuala Lumpur, Low berkata penganut agama itu mesti mempengaruhi dasar dalam cara yang mencerminkan anutan agama mereka.

“Saya tidak mengatakan kamu mesti menubuhkan parti politik..kamu tak akan relevan sehingga kamu jadi relevan dari sudut politik.

“Saya tidak bercakap tentang melibatkan diri dalam politik, tetapi kamu mesti dapat mempengaruhi dasar dalam cara yang mencerminkan kebenaran Tuhan yang maha kuasa,” kata Low.

Beliau menyampaikan mesej itu susulan gesaan Presiden Majlis Gereja Sabah, Rev Jerry Dusing agar kerajaan jujur mengenai skandal 1MDB dan “Rang undang-undang hudud”.

Bersuara demi tanggungjawab

Ketika ditanya mengenai gesaan Dusing, Ketua Paderi Kuala Lumpur, Julian Leow berkata ia merupakan satu soalan yang biasa untuk ditanya dan tidak bersifat politik.

“Bertanya mengenai apa yang berlaku adalah permintaan biasa terutama apabila wang rakyat dipersoalkan. Saya rasa kita perlu bersuara dan kita kena persoal,” kata Leow ketika ditemui pemberita.

Mengenai bagaimana masyarakat Kristian boleh menjadi relevan dari sudut politik, beliau berkata politik dan parti-parti politik perlu dibezakan.

Pada masa sama, beliau berkata, gereja mesti bersuara menentang ketidakadilan dan salah laku.
“Jadi, dalam perkara-perkara ini gereja sentiasa bersuara. Dan jika kita tidak bercakap, kita tidak melakukan tanggungjawab kita,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Krismas, ketua biskop itu berharap orang ramai boleh bekerja bersama-sama demi kebaikan negara.

“Saya nak kita semua memiliki harapan kerana saya fikir pada masa ini, perasaan itu seolah-olah segala-galanya tidak dapat berjalan baik di negara ini,” katanya.

– M’kini

.