MASIH ADAKAH KESETIAAN ANTARA NAJIB DAN ZAHID?

Rasanya baru benar iaitu sekitar waktu di Perhimpunan Agung UMNO 2016 lalu saja Zahid Hamidi ada melafazkan ikrar taat setianya kepada Najib Razak.
Dalam ucapan sulung merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ketika itu, beliau tidak menganggap kedudukannya kini sebagai ‘ghanimah’ atau harta rampasan perang untuk kepentingan diri.
“Tetapi ini adalah suatu ujian untuk menilai kesetiaan saya kepada tuan nakhoda bahtera UMNO ini. Saya berjanji akan terus berdiri di belakang tuan nakhoda untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan. Inilah janji Zahid Hamidi,” kata beliau.
Sebelum itu, dalam satu temubual, Zahid Hamidi juga menyatakan kesetiaannya kepada Najib dalam membantu menguruskan parti dan kerajaan ialah 101 peratus.
“Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk atau nasi walaupun nasi dan lauk tidak cukup.
“Ertinya, saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada, dan ia berlaku jika mengikut kehendak Allah,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Namun semalam Zahid Hamidi sekali melafazkan taat setia dan wala’ terhadap Najib ketika berucap merasmikan penutupan satu seminar di Putrajaya.
“Sebagai orang nombor dua, saya tidak akan tinggalkan Perdana Menteri keseorangan menghadapi mehnah dan atas konsep wala’ (setia), saya akan terus berdiri teguh bersamanya, ” kata Zahid yang juga Naib Presiden UMNO.
Kenapa kerap benar Zahid melafazkan taat setianya terhadap Najib?
Jika tiada kesangsian dalam dirinya atau beliau tidak meragui kepercayaan Najib terhadapnya, untuk apa Zahid selalu menyebut soal kesetiaannya itu?
Perlukah disebut dan diulang-ulang soal kesetiaan jika segala-galanya masih aman, dalam kawalan dan  air berkocak sekadar di dalam cawan?

Apa kedudukan Zahid sekarang agaknya – masih setia, tanda-tanda tidak lagi setia, mengharapkan setianya terus dihargai atau kesetiaannya tidak lagi dipercayai Perdana Menteri?

– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

.