MASALAH KEWANGAN, MALU ANTARA SEBAB MASIH MEMBUJANG

Lelaki dan wanita berumur lewat 20-an serta masih belum pernah berkahwin seringkali dilabel sebagai andartu (anak dara tua) atau bujang terlajak.

Selain belum sampai jodoh, pernahkah kita terfikir mengapa golongan tersebut yang rata-ratanya sudah bekerjaya masih lagi belum mendirikan rumah tangga? Perkara ini juga dilihat sebagai satu trend apabila golongan yang belum berkahwin dan bujang semakin ramai setiap tahun.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2010 sebanyak 2.5 juta daripada 28.3 juta penduduk Malaysia berumur 15 tahun dan lebih yang belum pernah berkahwin adalah 35.1 peratus.

Perkadaran lelaki yang belum pernah berkahwin ialah 37.8%- lebih tinggi sedikit berbanding perempuan 32.2%.

Pada tahun 2012 pula, rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin.

Menurut tinjauan Malaysiakini, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca mengapa golongan ini masih lagi tidak berkahwin.

Kewangan, malu punca tak kahwin

Antaranya ialah sibuk dengan kerjaya, malu serta masalah kewangan.

Bagi Hafiz Aziz, 30, seorang pereka grafik, beliau memberitahu bahawa kewangan menjadi punca mengapa beliau masih belum menamatkan zaman bujangnya.

Jelasnya, dengan keadaan ekonomi yang semakin teruk, berkahwin tidak menjadi perkara utama dalam hidupnya.

“Saya masih belum dapat kebebasan kewangan. Saya tak nak kaya tetapi perlu ada kebebasan kewangan macam mana nak sara anak, isteri. Bila tak ada duit, kena harapkan belas ihsan kerajaan, orang yang tak kenal.

“Kebebasan kewangan tu contohnya kita tak perlu nak berkira bila nak beli barang. Nak beli, kita dapat apa yang kita nak. Jika sebaliknya bermakna kewangan belum stabil,” katanya kepada Malaysiakini.

Megat Mohd Iskandar Wan Ab Razak, pula menceritakan, malu menjadi antara sebab mengapa beliau masih membujang.

Walaupun telah menginjak usia 33 tahun, namun beliau tetap tidak berputus asa untuk mencari bakal isterinya.

‘Masih berusaha mencari’

“Sekarang ini masih berusaha cari yang sesuai. Nak hidup bersama bukan untuk dua, tiga tahun.

“Malu nak mulakan perkenalan pun antara faktornya juga. Sebab umur dah meningkat, nak mula kenal balik dari ‘A’ agak segan,” katanya.

Bagaimanapun, Megat yang berasal dari Terengganu turut tidak menolak sekiranya ibunya mencarikan jodoh buat dirinya.

“Saya juga beri peluang pada keluarga, kakak atau makcik untuk padankan. Melalui laman sosial pun ada juga tapi kalau ada jodoh, ada lah,” katanya yang turut menggunakan media sosial untuk berkenalan kerana malu untuk ‘mengorat’ wanita.

Bagi seorang pegawai pemasaran yang mahu dikenali sebagai Intan, beliau memberitahu pada zaman sekarang bukan mudah untuk mencari lelaki yang serius untuk mendirikan rumah tangga.

Intan berkata, walaupun tidak anti terhadap institusi perkahwinan namun beliau turut merasa takut untuk berkahwin apabila membaca pelbagai kisah masalah rumah tangga di media sosial.

“Memang nak kahwin. Siapa yang tak nak kahwin, tapi takut tu ada. Dengan macam-macam kejadian yang terjadi sekarang. Orang bercerai. Tapi takut tu memang ada,” kata Intan  yang berusia 28 tahun.

Seorang penulis, Natasha Johari, 28, pula mempunyai pandangannya sendiri mengenai perkahwinan.

‘Fokus pada impian’

Menurut Natasha, berkahwin bukan matlamat utamanya ketika ini.

Ini kerana, beliau mahu fokus terhadap impiannya terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.

Malah, terlalu sibuk serta mengalami pengalaman ‘pahit’ bersama bekas kekasihnya, telah menjadikan gadis yang berasal dari Kuala Lumpur itu memilih untuk ‘single’ buat masa ini.

“Terlalu sibuk untuk ada teman lelaki. Saya juga belajar (peringkat) sarjana sepenuh masa, bekerja juga. Tak ada masa untuk keluar melepak. Pernah ada pasangan selama sembilan tahun tetapi ‘on dan off’.

“Berpisah dulu kerana masing-masing fokus pada karier. Lagipun saya mempunyai perancangan, sebab itu mengambil sarjana. Sekarang saya lebih kepada untuk memenuhi impian saya,” ujarnya.

‘Buang rasa takut dan malu’

Bagaimanapun, beliau turut tidak menafikan bahawa ‘takut’ untuk berkahwin menyebabkan beliau masih lagi tidak mempunyai teman lelaki.

“Tetapi buat masa sekarang saya tak rasa bersedia untuk berkahwin. Takut tetapi masih percaya pada institusi perkahwinan. Bila saya jumpa seseorang untuk saya berkahwin, saya mahu berkahwin,” katanya yang mensasarkan sehingga umur 35 untuk berkahwin.

Sehubungan itu, Pengurus Baitulmuslim.com, Mohamad Hasrul Hamimie Abdul Hadi, 28 – satu laman web untuk mencari jodoh yang kini mempunyai kira-kira 29,000 orang yang berdaftar – menasihatkan agar perasaan takut dan malu itu dibuang bagi memudahkan mencari pasangan hidup tidak kira sama ada lelaki atau wanita.

Menurut Hasrul yang telah bekerja sebagai pengurus selama tiga tahun, berdasarkan rekod daripada individu yang berdaftar dengan Baitulmuslim, terdapat wanita yang terlalu malu untuk memulakan ‘perkenalan’ dengan lelaki walaupun melalui internet.

Malah, golongan wanita juga menjadi golongan teramai yang mendaftar di laman web tersebut, kata Hasrul.

Jangan tunggu jodoh datang

Katanya kepada Malaysiakini, antara punca lain ialah sibuk dengan kerja serta menunggu ‘jodoh’ datang kepada seseorang wanita.

“Kita ada satu kes, dia (seorang wanita) dah masuk Baitulmuslim dah lama, tapi tak ada jodoh lagi. Bila kita siasat, rupanya dia tak mulakan sebab dia mahu orang lain mulakan dulu sebab dia malu.

“Dalam perhubungan biasa pun dia malu nak mulakan, jadi sebab itu adanya Baitulmuslim ini sebab kita boleh bagi signal dengan tekan button ‘kirim salam’ jika ada pihak yang malu nak mengarang ayat.

“Jodoh bukan sesuatu yang kita kena tunggu tapi kita juga kena usaha. Bukan turun dari langit,” katanya yang turut memetik kisah Siti Khadijah yang meminang Nabi Muhammad tanpa menunggu baginda meminangnya.

Mengulas mengenai istilah perigi mencari timba menjadikan sesetengah wanita malu untuk memulakan perkenalan, Hasrul menasihatkan agar golongan wanita tidak menjadikan masalah tersebut umpama merendahkan martabat wanita.

“Kami banyak terima aduan dari wanira, mereka kata malu nak mulakan. Saya ingin nasihatkan, memulakan perkenalan bukan kita merendahkan maruah tetapi perkara itu telah memuliakan maruah wanita kerana mereka berniat untuk berkahwin.

Masa jadi ‘penghalang’

“Kerana, bila wanita itu memulakan sesuatu perhubungan, ia meninggikan martabat wanita itu untuk menjadi isteri. Sebab ia menuju ke alam perkahwinan dan ia sesuatu yang baik.

“Kenapa kita perlu malu untuk perkara yang baik? Bukan nak ajak buat benda yang tak elok,” jelasnya yang turut memberitahu bahawa Baitulmuslim akan bertindak menjadi orang tengah dan diwujudkan bagi menyelesaikan masalah orang yang tidak berkahwin.

Bagi Pengasas Bersama Halal Speed Dating, Syed Azmi AlHabshi pula, beliau berpendapat masa menjadi antara ‘penghalang’ kepada golongan bekerjaya untuk berkahwin.

Berdasarkan pengalaman individu yang berdaftar di Halal Speed Dating, Syed Azmi memberitahu kebanyakan daripada mereka menceritakan bahawa tiada masa serta tidak tahu untuk berkenalan menjadi faktor mengapa mereka belum berkahwin.

“Masa adalah faktornya. Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai masa dan mereka tidak tahu macam mana nak berkenalan.

Satu proses pembelajaran

“(Bila serta Halal Speed Dating) ia juga merupakan proses untuk menerokai diri sendiri… Ada yang beritahu mereka nak berkahwin dengan orang yang tinggal di Kuala Lumpur sebab tak perlu bergaduh bila hari raya, tetapi mereka akan sedar bahawa ia sebenarnya bukan mengenai perkara itu, ia lebih daripada itu.

“Ia merupakan satu proses pembelajaran bagi kedua-dua belah pihak,” katanya yang turut memberitahu golongan wanita lebih ramai mendaftar di Halal Speed Dating berbanding lelaki.

Menjelaskan tentang perkara itu, Syed Azmi memberitahu antara penyebab kaum lelaki tidak menyertai ‘program’ seperti itu kerana mereka tidak bersedia.

“Mungkin lelaki tak bersedia dengan perkara seperti ini. Tapi kadang-kadang perkahwinan itu sendiri menjadi penghalang kenapa orang tidak berkahwin seperti kos perkahwinan yang tinggi.

“Jadi mereka tidak bersedia untuk berkahwin, tidak mempunyai jaminan dari segi kewangan, tidak ada rumah, perlu menjaga ibu bapa,” katanya yang turut menasihatkan pasangan agar tidak hanya memikirkan tentang majlis perkahwinan tetapi fokus pada perkahwinan itu sendiri.

 MKINI
.