MASA DEPAN SURAM DI TANGAN PEMIMPIN BERFIKIRAN SEMPIT

DALAM tempoh beberapa hari lalu, rakyat Malaysia dapat mengagak masa depan negara ini dan ia agak suram.

Jika pasukan Dr Mahathir-Anwar memberikan tanggapan yang negara ini terperangkap dalam masa depan dan zaman lampau, lebih teruk lagi apabila melihat paduan Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri.

Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim melakukan banyak kesilapan tetapi mereka bukan bodoh.

Mungkin pengaruh politik mereka hilang sejak beberapa tahun, mungkin mereka tersingkir atau dicemuh bekas pengikut masing-masing, tetapi dua lelaki ini, walaupun sudah melepasi masa perdana dalam politik, mereka lebih pintar berbanding musuh mereka dalam Umno.

Bersatu semula selepas putus 20 tahun, dua individu ini – rakan kongsi bertukar musuh dan kini kembali menjadi sekutu mengetepikan permusuhan dan persaingan untuk sesuatu yang dilihat sebagai lebih mendesak – iaitu menarik Malaysia kembali ke landasan betul daripada perpecahan politik dan kehancuran.

Sebagai contoh, berapa banyakkah lagi hinaan hendak diberi dalam sekadar menggambarkan dan mencemuh barisan kepimpinan tiga individu memegang teraju Pakatan Harapan (PH) sebagai formula kegagalan?

Itulah yang dilakukan timbalan perdana menteri yang juga pemangku timbalan presiden Ahmad Zahid Hamidi apabila berkata rakyat perlu kaji dan bandingkan formula pakatan dengan dasar perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) yang berkesan untuk negara selama ini.

“Secara logik, sebuah kapal yang mempunyai tiga nakhoda akan terumbang-ambing (kerana) seorang ada yang ingin mahu ke kanan dan ke kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam.

“Kami tidak mempersoalkan keputusan mereka, itu masalah mereka, tetapi kami mahu rakyat kaji ini. Jika mereka ada peta jalan berbeza dan arah mana mereka hendak pergi,” kata Zahid semalam.

Sudah tentu, semua ini politik. Adakah tiga kapten beberapa kapal berbeza daripada dasar perkongsian kuasa BN antara kaum? Benarkah ada formula perkongsian kuasa itu?

Malaysia perlu melihat melangkaui pakatan perkongsian kuasa berdasarkan kaum itu. Ia perlu berdasarkan kepada sesuatu yang lebih penting berbanding hanya bangsa yang menjadi jampi BN selama bertahun-tahun.

Formula BN berkesan pada masa dulu, mungkin, tetapi mana-mana kelayakan pemimpin yang bergantung pada kaum akan membawa kepada lebih banyak kenyataan seperti diulang Zahid dan rakannya dalam Umno, Ismail Sabri.

Ismail yang juga menteri dan ahli Majlis Tertinggi Umno, menekankan barisan kepimpinan PH akan menyebabkan perpecahan undi Melayu dan akhirnya membawa kepada DAP menang lebih kerusi dan Cina mengambil alih jawatan perdana menteri walaupun Cina tidak ramai dalam barisan kepimpinan tertinggi pakatan itu.

“Akhirnya kita Melayu akan terpecah tiga jika ini berlaku, jika mereka (pembangkang) bentuk kerajaan, DAP akan ada kerusi paling banyak, dan mengikut perlembagaan, mereka layak memutuskan siapa akan jadi perdana menteri.

“Jika Lim Guan Eng mahu jadi perdana menteri, maka dia akan jadi. Jika mereka tidak berani letak Guan Eng, mereka boleh letak orang Melayu, tetapi dia Melayu seperti menteri besar Selangor, yang tidak boleh buat keputusan kerana semuanya dikawal Teresa Kok, Hannah Yeoh dan siapa-siapa lagi,” katanya.

Retorik lama yang sama mengenai politik kaum. Inikah yang dipanggil perkongsian kuasa, BN? Semua orang sama tetapi hanya satu komuniti lebih sama dan layak memegang jawatan tertinggi?

Dan anda hendak komen mengenai barisan kepimpinan PH? Berapa suram lagi yang boleh diharapkan jika faktor kaum terus menjadi kelayakan utama untuk memimpin? Betapa bodohnya perbahasan ini, dari zaman Malaya dan Malaysia dibentuk?

Bagaimana sebuah negara pelbagai bangsa hendak membangun jika ia masih terperangkap dalam politik kaum? Ini negara rakyat Malaysia, bukan hanya Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain.

Cakap-cakap seperti ini menunjukkan kurangnya tahap kecerdasan, kepimpinan, wawasan, dasar dan empati untuk membina negara bagi rakyat Malaysia.

Malaysia perlukan pemimpin bijak, bukan mereka yang berfikiran sempit untuk berpegang kepada politik kaum sebagai mantera mereka. Dalam jangka panjang, mungkin ia bukan pasukan Dr Mahathir-Anwar, tetapi pastinya bukan juga mana-mana dalam pasukan BN pada masa sekarang.

– https://www.themalaysianinsight.co

.