Masa depan kaum Cina masih cerah di M’sia, kata bekas presiden MCA

Sesetengah kaum Cina mungkin telah berhijrah ke luar negara kerana tidak puas hati dengan keadaan di Malaysia, tetapi bekas Presiden MCA, Tan Koon Swan merasakan bahawa masyarakat tersebut masih mempunyai masa depan yang cerah di negara ini.

Beliau berkata, walaupun sesetengah kaum Cina percaya mereka tidak dilayani dengan baik oleh kerajaan atau tidak ada masa depan untuk mereka di sini, namun realitinya adalah sebaliknya.

Dalam temu bual dengan akhbar Sin Chew Daily, Tan berkata, walaupun sejumlah syarikat besar dilihat dikawal oleh kaum lain, tetapi analisis yang lebih mendalam mendedahkan bahawa kaum Cina masih menyumbang 70 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Oleh itu, Tan yang menjadi presiden MCA dari 1985 hingga 1986, berkata kaum Cina masih memainkan peranan utama dalam ekonomi negara.

Beliau memberi contoh Felda, yang bersama-sama dengan Sime Darby dan usahawan bumiputera lain mengawal kira-kira 25 peratus tanah perladangan.

Beberapa usahawan besar China mengawal 20 peratus daripada tanah perladangan dan selebihnya 55 peratus milik pemilik estet kecil.

Katanya, walaupun sesetengah orang Melayu menikmati kuasa, gaji tinggi dan faedah yang baik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun kebanyakan masyarakat Melayu masih hidup tidak senang berbanding dengan kaum Cina.

Beliau berkata walaupun tidak ada keadilan mutlak untuk kaum Cina di Malaysia, namun mereka masih mempunyai peluang yang agak adil untuk memulakan perniagaan mereka.

Tan dalam kesimpulannya berkata dengan pembangunan dasar ekonomi China ‘One Belt, One Road’ yang merangkumi Malaysia dan wilayah ekonomi baru Asean, Malaysia akan mempunyai pasaran yang besar untuk diterokai dan potensi yang besar untuk pembangunan.

– m’kini

.