MARA INC: SHAFIE APDAL SEDIA BANTU SIASATAN SPRM

PETALING JAYA – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedia memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembelian sebuah hartanah oleh anak Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu berkata, beliau sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa jika pihak berkuasa memerlukan maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Saya difahamkan kes ini masih lagi di dalam siasatan pihak SPRM. Saya sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya pihak berkuasa memerlukan maklumat bagi membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah berharap agar SPRM memaklumkan tarikh beliau perlu hadir ke pejabat SPRM lebih awal bagi memudahkan proses tersebut.
“Saya juga menghargai sekiranya dapat dimaklumkan lebih awal supaya penyelarasan masa dapat dilakukan,” katanya.

Pada 14 April lalu, SPRM menerima maklumat baharu berhubung dakwaan salah laku seorang bekas menteri yang dikaitkan dengan pembelian hartanah tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan kes tersebut akan disambung berikutan bukti dan maklumat baharu itu.

Pada Rabu, SPRM mengesahkan seramai 24 saksi dipanggil untuk membantu siasatan kes tersebut.

Azam berkata pihaknya juga sedang menyiasat tujuh premis termasuk sebuah firma guaman,  pejabat penilai dan pejabat Mara Inc.

“Semua dokumen yang berkaitan pembelian hartanah di Australia juga telah dirampas. Kami telah mengumpul lebih banyak maklumat baru dan ia adalah siasatan berterusan daripada kes sebelum ini pada 2015,” katanya.

– Mstar