MANA PEMBANGKANG NAK CARI RM41 BILION JIKA MANSUH GST, KATA NAJIB

PEMBANGKANG tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan pendapatan RM41 bilion yang diperoleh daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun lalu, walaupun mereka mahu sangat menghapuskan cukai itu, kata Perdana Menteri Najib Razak.

“Mereka menipu dan menyebarkan fitnah atas alasan politik mereka sendiri.

“Tetapi kerajaan ini akan terus dengan program pembaharuannya yang dipuji pakar seluruh dunia bagi berkhidmat kepada rakyat dan memastikan Malaysia meneruskan perjalanannya menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya di Forum Ekonomi Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Berhubung kritikan terhadap kemasukan pelaburan China ke Malaysia, Najib berkata daripada segi ekonomi, tidak wajar untuk menolak pelaburan itu seperti dicadangkan ahli politik pembangkang.

“Pemikiran sempit dan singkat seperti itu mengkhianati asas pemahaman ekonomi dan ia tidak bagus untuk negara,” katanya, sekali lagi menegaskan kebanjiran pelaburan dari China dan negara lain tidak akan menjejaskan kedaulatan negara.

Sementara mengakui pelaburan China agak ketara merangkumi semua sektor perkilangan, perkhidmatan, pelabuhan, landasan kereta api, hartanah, pembinaan, pendidikan dan jana kuasa, Najib berkata pelaburan turut diterima daripada pelbagai negara dengan purata RM36 bilion setahun.

Pada masa ini China rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia dan menurut Jabatan Statistik, pelaburan China mewakili 2% daripada keseluruhan pelaburan asing langsung bagi suku pertama tahun ini.

Najib yang akan melancarkan landasan Kereta api Pantai Timur esok berkata pinjaman dari China pada kadar paling kompetitif.

Beliau turut menyenaraikan pencapaian ekonomi negara dengan penurunan defisit kepada 3% tahun ini berbanding 6.7% pada 2009.

“Saya akan melakukan terbaik untuk negara ini. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab selagi rakyat mahu saya terus menerajui negara ini.

“Saya pastikan ini akan menjadi kerajaan yang adil, bukannya kerajaan populis semata-mata untuk menang saja,” katanya.

– www.themalaysianinsight.com

.