‘MANA MARUAH DAP?’, TANYA MCA

KUALA LUMPUR – Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat pusingan U mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan parti tersebut tiada maruah.

Justeru itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengajak orang ramai imbau kembali kecaman pemimpin DAP itu terhadap Mahathir.

“Kalau dulunya, Mahathir dikutuk habis-habisan oleh DAP, digelar diktatorlah, hantu maha firaun lah dan lain-lain.

“Tetapi hari ini, DAP bukan sahaja memeluk dan mendukung Mahathir, tetapi parti itu mahukan beliau kembali menjadi PM.

“Inilah hipokrasi DAP, manalah maruah, manalah prinsip, kalau dahulu mereka peluk Pas, hari ini peluk Mahathir pula,” katanya ketika ucapan Mesyuarat Agung Tahunan ke-64 MCA di Wisma MCA, hari ini.

Sementara itu, tambah Tiong Lai lagi, MCA sentiasa konsisten dengan keputusan mereka berbanding dengan DAP.

“MCA dan BN sentiasa konsisten, kita mungkin berbeza pendapat namun sentiasa mencapai konsensus apa yang terbaik untuk negara.

“Contoh terbaik adalah keharmonian yang diperolehi negara selama 60 tahun ini dan akan datang.

“Justeru, jangan biarkan Mahathir dan Kit Siang merosakkan payung keharmonian, keamanan BN ini,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.