MANA ASET BERNILAI RM42 BILION?

SHAH ALAM – PKR mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menjelaskan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM42 bilion tidak hilang, sebaliknya ia hutang syarikat berkenaan.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR, Wong Chen berkata, setiap pihak tidak mempertikaikan jumlah hutang 1MDB tersebut, namun terdapat beberapa perkara menjadi persoalan dan memerlukan penjelasan lanjut kerajaan.

“Kita memang tahu RM42 bilion itu hutang 1MDB, tapi jika ia hutang, mesti ada aset yang akan ditunjukkan kepada rakyat.

“Isunya ialah kerajaan perlu tunjuk semua aset tersebut, sama ada adakah ia bersamaan dengan hutang RM42 bilion itu,” katanya, semalam.

Wong Chen yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya berkata, mengikut perkiraan pihaknya, kira-kira RM10 bilion hingga RM20 bilion wang 1MDB telah dibelanjakan, namun tidak memiliki sebarang aset dan rekod perbelanjaan.

“Malah daripada jumlah RM42 bilion ini, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat sebelum ini juga turut mendakwa pelbagai aset mewah dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion),” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.