MAMPUKAH SUKAN SEA MEWUJUDKAN ‘FEEL GOOD FACTOR’ UNTUK MEMBANTU NAJIB MENANG PILIHANRAYA?

Sukan SEA ke 29 di Malaysia kali ini dilihat amat penting untuk memberi sedikit sinar tambahan kepada Najib Razak untuk memenangi PRU 14 yang akan menentukan hidup matinya sebagai Perdana Menteri paling dipertikaikan kewibawaannya oleh rakyat.
Motto “Bangkit Bersama”  yang dipilih bukan saja menjurus ke arah merangsang atlit untuk memenangi pingat sebagaimana jumlah yang disasarkan, tetapi juga seperti mempunyai maksud tersirat  untuk mengajak rakyat meneruskan kejayaan dan perpaduan dengan mengekalkan kerajaan yang ada terus berkuasa.
Lantaran itu, kejayaan negara dalam Sukan SEA kali ini dilihat mustahak  untuk mewujudkan “feel good factor”  yang akan membantu UMNO dan BN terus mengekalkan kuasanya.
Bagi tujuan tersebut, sasaran pingat emas yang ditetapkan kali ini ialah 111 iaitu bertepatan dengan nombor kegemaran Najib sendiri. Walaupun Tun Abdullah Badawi, bapa mertua Khairy Jamaluddin yang semua orang tahu nombor kegemarannya adalah 13, namun KJ dilihat lebih mengutamakan angka 11 yang merupakan angka pilihan bapa politiknya ketika ini.
Sehingga pagi ini, jumlah pingat keseluruhan yang dimenangi Malaysia ialah 37 dan kekal mendahului negara-negara lain di tempat pertama dari segi kutipannya.
Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah, biasanya suatu kelebihan bagi negara untuk meraih lebih pingat dalam acara-acara yang pemarkahannya dibuat secara subjektif. Maka, sasaran 111 atau lebih pingat itu bukanlah mustahil untuk dicapai dalam acara kali ini.
Jika sasaran 111 pingat atau lebih itu akhirnya dapat dicapai, selain kesungguhan atlit, sokongan rakyat dan peranan kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan dalam menjayakannya, kaitannya dengan angka tuah Najib sudah pasti akan turut didendangkan sama ke sana sini.
Seolah-olah gambarannya Najib turut ada saham dan peranan dan mencetuskan “feel goof factor”  tersebut melalui angka kegemarannya yang dipilih sebagai sasaran kemenangan.
Tambah meriah nanti ialah kerana majlis penutup Sukan SEA akan diadakan sehari sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos. Dengan kejayaan penganjuran yang gilang-gemilang, pungutan pingat sebagaimana disasarkan, tuah angka 111 yang dikaitkan dengan Najib serta diiringi dengan sambutan kemerdekaan pada esok harinya, “feel good faktor”  itu tentu akan dilihat sebagai kelebihan bagi UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya.
Dilihat tambah memberi kelebihan jika Najib mengadakan pilihanraya sekitar November atau Disember iaitu selepas beliau membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober dan pada awal November pula, RCI forex yang sebelumnya diberi tempoh tiga bulan untuk menjalankan inkuiri sudah siap dengan laporannya.
Dalam hal ini, KJ yang turut mengambil bahagian dalam acara polo, jika turut berjaya memenangi pingat emas, akan sama dilihat sebagai kejayaan berganda yang bakal digembar-gemburkan untuk menarik golongan muda agar kekal bersama bersama kerajaan yang ada pada hari ini.
Dari segi gilang-gemilangnya upacara pembukaan dan pungutan pingat setakat ini, hasrat mencetuskan “feel good factor” melalui pencapaian sekurang-kurangnya 111 pingat Sukan SEA kali ini nampaknya sedang menjurus kepada matlamat yang disasarkan sebelum ia bakal disimpulkan dalam acara penutup yang akan dilakukan oleh Najib pada malam 30 Ogos nanti.
Bagaimanapun, di luar daripada jangkaan, penganjuran kali ini sedikit terganggu dengan kecuaian sehingga bendera Indonesia diletakkan terbalik dalam buku acara yang dicetak. Beberapa kecuaian melibatkan logo negara Brunei juga dilaporan berlaku, tetapi tidaklah sebesar yang melibatkan Indonesia itu.
Walaupun KJ selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA sudah memohon maaf kepada Indonesia, tetapi kecohnya di negara jiran itu masih lagi berterusan. Beberapa tunjuk perasaan, aksi protes jalanan dan serangan balas di media sosial oleh warga Indonesia terhadap Malaysia berlanjutan sehingga ke hari ini.
Di negara kita, kecuaian itu turut mengundang banyak pihak menyalahkan KJ sebagai puncanya. Kata mereka, inilah puncanya bila Menteri Belia dan Sukan lebih ghairah mahu menjadi selebriti sukan  dengan menjadi peserta acara polo dalam waktu yang sama.
Tambah mereka, jika KJ menumpukan sepenuh perhatiannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA dengan menitik-beratkan serta mengambil perhatian penuh kepada aspek kelancaran dan kesempurnaan keseluruhan pesta sukan sambil tidak meletakkan dirinya terganggu dengan latihan dan tumpuan sebagai peserta polo, kesilapan seperti bendera terbalik itu mungkin dapat dielakkan kerana ini bukanlah kali pertama Malaysia menjadi penganjur temasya sukan.
Tidak setakat Sukan SEA, malah Sukan Komanwel pun pernah dianjurkan oleh Malaysia. Namun, tidak pernah wujud kesilapan dan kecuaian memalukan seperti kali ini. Sudah tentu sebabnya mengapa temasya lain itu tidak terganggu ialah kerana Menteri Belia dan Sukan sebelum ini tidak mengejar glamour dalam tugas dan kerja mereka.
Tidak kurang yang mendesak agar KJ meletakkan jawatan kerana kesilapan terhadap Indonesia itu adalah melibatkan maruah mereka sebagai negara yang merdeka.
Maka, sedikit-sebanyak dengan kecuaian terhadap Indonesia itu, “feel good factor” yang mahu dicapai itu telah terencat di peringkat awal lagi.
Soalnya kini, mampukan “feel good factor”  yang mahu dicapai sebagaimana yang diharapkan itu akan berterusan sehingga ke acara penutup dan seterusnya boleh dibawa ke pentas-pentas  kempen PRU 14?

Bagaimana jika kecuaian bendera terbalik adalah petaka awal yang seterusnya membawa matlamat 111 pingat gagal dicapai dan KJ juga tidak menang sebarang pingat?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.