MAMPUKAH PAKATAN PERTAHAN LEMBAH PANTAI?

NURUL Izzah Anwar menyingkirkan dua menteri Umno di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada dua pilihan raya umum lalu tetapi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, orang tertanya-tanya apakah naib presiden PKR itu boleh mengekalkan kerusi berkenaan.

Pada 2008, Nurul Izzah yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya menjadi “giant killer” selepas menumbangkan menteri Kabinet merangkap Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 2,895 undi.

Manakala pada 2013, anak sulong kepada Anwar Ibrahim itu mengalahkan seorang lagi menteri, Raja Nong Chik Zainal Abidin yang pada ketika itu merupakan menteri Wilayah Persekutuan dengan majoriti lebih rendah 1,847 undi.

Akan tetapi persoalan kini timbul apakah PKR dan Pakatan Harapan (PH) dapat mempertahankan kerusi tersebut sekiranya persempadanan baharu yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diguna pakai pada PRU14 akan datang.

Badan penyelidik media sosial, Politweet baru-baru ini dalam simulasi keputusan PRU14 menyenaraikan Lembah Pantai antara 10 kerusi PH yang bakal dirampas oleh Barisan Nasional (BN).

Semasa berdepan dengan Shahrizat dan Raja Nong Chik pada 2008 dan 2013, PAS bersama-sama untuk membantu kemenangan ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Kini Nurul Izzah akan turut berdepan dengan cabaran baharu pertembungan tiga penjuru kerana terpaksa berdepan dengan bekas sekutu PAS yang sudah mengumumkan bakal bertanding di kerusi itu walaupun masih belum menamakan calon.

Timbalan Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata setiap kali persempadanan semula dilaksanakan SPR, BN akan mengalami kemenangan besar.

“Tetapi disebabkan tiadanya majoriti dua pertiga pertambahan bilangan kerusi tidak boleh ditambah.

“Jadi, dia terpaksa menggunakan apa sahaja yang boleh dilakukan sekarang memberikan keuntungan maksimum kepada BN,” kata Redzuan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Ibu Pejabat IDE di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut bekas dekan fakulti sastera dan sains sosial Universiti Malaya (UM) itu, pada 2013, walaupun berlaku pertambahan pengundi Melayu, BN masih tidak boleh menang di Lembah Pantai kerana sejumlah pengundi Cina tidak dikeluarkan.

“Kalau kita lihat kawasan seperti Lembah Pantai. Dalam pilihan raya lalu calon BN Raja Nong Chik yakin menang. Mengapa beliau yakin? Kerana pada waktu itu berlaku pertambahan undi Melayu.  

“Cuma kesilapan beliau ialah tidak keluarkan pengundi Cina dari Lembah Pantai. Walaupun bertambah pengundi Melayu tetapi tidak cukup untuk menang. Tetapi kalau dia keluarkan pengundi Cina, satu tambah, satu keluar baru boleh menang,” kata naib cancelor Universiti Selangor (Unisel) itu.

Timbalan Pengarah Institut Darul Ehsan Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata setiap kali persempadanan semula dilaksanakan, ia akan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Februari, 2018.
Timbalan Pengarah Institut Darul Ehsan Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata setiap kali persempadanan semula dilaksanakan, ia akan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Februari, 2018.

Pengundi dimasukkan dan dikeluarkan

Pada 2008, jumlah pengundi di Lembah Pantai ialah 56,650 orang manakala pada 2013, jumlah pengundi meningkat kepada 72,396 orang.

Berita Harian melaporkan baru-baru ini, kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan jumlah pengundi sehingga 64% menjelang PRU14.

Menurut laporan itu, kerusi Parlimen Lembah Pantai akan mengalami pertambahan pengundi sebanyak 9.8% berbanding pada 2013.

Redzuan berkata, sekiranya persempadanan baharu dilaksanakan, BN akan mempunyai kelebihan kerana Nurul Izzah mengalahkan Raja Nong Chik pada 2013 dengan majoriti tidak begitu besar.

“Sekarang dia keluarkan sebahagian pengundi Cina, masukkan ke sebelah Seputeh. Maknanya kali ini Parlimen Seputeh DAP akan menang besar.

“Dan di kawasan Parlimen Lembah Pantai dimasukkan Bukit Aman. Dan ini sudah tentu akan mengubah pola pengundian kawasan itu,”   kata Redzuan.

Nurul Izzah yang juga pengarah pilihan raya PKR sedar akan penambahan pengundi yang di kawasan Parlimen itu.

“Saya mendapat maklumat, Umno sudah melakukan pemindahan pengundi sejak 2013 lagi di mana memindahkan secara besar-besaran ahli-ahli Umno di persekiran yang berhampiran dengan Lembah Pantai.

“Contohnya ahli Umno dari Kepong, Seputeh, Segambut. Yang paling banyak dari Seputeh. Maka akhirnya, peratusan 30% undi atas pagar akan berkurangan.

“Jadi saya sentiasa ingatkan, para penyokong agar keluar mengundi bagi menampung pengundi baharu dibawa masuk Umno. Kalau anak-anak muda tidak keluar mengundi akan memberikan kesan negatif kepada PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Walaupun pertembungan tiga penjuru sudah pasti memberikan cabaran kepada PH, Nurul Izzah mempertaruhkan kepercayaan kepada rakyat dalam memilih calon sebenar yang mampu menyuarakan perihal kemelut ekonomi yang mereka lalui, dan menyelusuri jalan tuntas menumpaskan BN, bukan sebaliknya.

“Sekarang yang jelas PRU14 adalah pertembungan antara PH dan BN.

“Saya percaya rakyat tahu tentang perkara ini dan akan menolak mana-mana pihak yang mahu mengekalkan kerajaan kleptokrasi,” katanya.

Keyakinan Raja Nong Chik

Raja Nong Chik yang akan sekali lagi bertanding pada PRU14 berkata, BN mempunyai peluang untuk merampas Lembah Pantai berbanding pada 2013.

“Akan tetapi, sentimen nasional terhadap BN akan mempengaruhi corak pengundian di Lembah Pantai. Kalau sentimen di peringkat nasional tidak baik, tempias akan terkena juga di sini.

“Sentimen tempatan BN berjaya kawal kerana penyandang ahli Parlimen tidak memberikan perkhidmatan yang begitu baik, dia tak service Lembah Pantai,” kata ketua Umno Bahagian Lembah Pantai itu kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun Raja Nong Chik berkata, beliau tidak pasti apakah kerusi bandar seperti Lembah Pantai ini mementingkan perkhidmatan yang baik daripada wakil rakyat.

Raja Nong Chik Zainal Abidin yang akan sekali lagi bertanding pada PRU14 berkata, BN mempunyai peluang untuk merampas Lembah Pantai berbanding pada 2013. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2018.
Raja Nong Chik Zainal Abidin yang akan sekali lagi bertanding pada PRU14 berkata, BN mempunyai peluang untuk merampas Lembah Pantai berbanding pada 2013. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2018.

“Saya di sini untuk berkhidmat, kalau kalah kali kedua pada PRU14 ni, maknanya rakyat di Lembah Pantai tidak mementingkan perkhidmatan yang baik.

“Kalau rakyat Lembah Pantai mahukan service, dia orang akan pilih saya kerana saya sentiasa ada di sini,”   katanya.

Walaupun persempadanan semula di Lembah Pantai mungkin dilakukan sebelum PRU14, Nurul Izzah tetap yakin majoriti pengundi akan tetap menyokong PH.

“Alhamdulillah nampak baik. Pengundi Lembah Pantai mendapat akses pendedahan kepada isu menjadikan mereka sangat dahagakan perubahan di peringkat pusat.

“Maka ramai yang bertemu dengan saya sebelum ini tidak mempunyai keberanian untuk menyatakan sokongan secara terbuka,” katanya.

Terdapat cakap-cakap tentang kemungkinan Nurul Izzah akan dipindahkan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan digantikan dengan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

“Sehingga hari ini, sebagai penyandang, saya akan bertanding di Lembah Pantai.

“Sekiranya pertandingan berlaku secara adil dan saksama, saya yakin kita akan dapat pertahankan kemenangan.

“Akan tetapi saya akan patuh sekiranya parti mengarahkan saya melakukan sebaliknya,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.