MALU NAJIB: BN TIDAK AKAN KEMPEN ALA PRESIDEN SEPERTI PRU13

LIMA tahun lalu, Najib Razak ada di mana-mana di sepanjang laluan kempen pilihan raya.

Hanya wajahnya saja yang terpampang pada segala bahan kempen Barisan Nasional (BN) – poster, sepanduk, lencana dan apa saja.

Penasihat strategik dan orang kanan perdana menteri mahu beliau berkempen macam bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama atas keyakinan imejnya lebih mudah dijaja berbanding BN atau Umno.

Makanya, poster Najib dipasang di merata tempat sehinggakan di sesetengah kawasan, poster perdana menteri itu lebih banyak daripada calon yang bertanding kerusi parlimen atau dewan undangan negeri. Sepanduk “Saya Sayang PM” lebih menonjol berbanding “Kami Sayang BN” atau “Saya Sayang Umno”.

Tetapi kempen pertama Najib dengan gaya presiden itu makan diri apabila BN kalah lebih banyak kerusi di Parlimen berbanding pada pilihan raya umum (PRU) 2008. BN juga buat pertama kalinya kalah undi popular kepada pakatan pembangkang.

BN juga gagal menawan semula Pulau Pinang dan Selangor selain membenarkan pembangkang menembusi Johor yang selama ini dianggap kubu kuat pemerintah. Selebihnya, BN juga hanya menang tipis di lebih 50 kerusi Parlimen.

Barisan Nasional kini mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mencorakkan kempennya bagi mendepani pilihan raya kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2018.
Barisan Nasional kini mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mencorakkan kempennya bagi mendepani pilihan raya kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2018.

Selepas lima tahun, penasihat strategi BN serta perunding politik dan jenama kini percaya parti pemerintah itu tidak lagi boleh mengetengahkan Najib sebagai titik pusat kempen PRU14.

Sokongan terhadap Najib sekarang berada pada lingkungan antara 20 hingga 40%, jatuh teruk berbanding 55% sebelum PRU13.  

Sebagai sebuah jenama, Najib Razak sudah rosak, kata penganalisis politik.

Sebagai sebuah jenama, Najib Razak susah hendak dijual kepada pengundi, kata perunding jenama dan iklan.

“Tidak ada pengurus jenama yang waras fikirannya akan menggerakkan kempen PRU14 ini sama seperti kempen PRU13. Banyak yang perlu dilakukan kalau hendak menjual Najib Razak sebagai sebuah jenama,” kata perunding jenama dan iklan itu yang mahu identitinya dirahsiakan.

Dalam tempoh empat tahun lalu, Najib terpaksa menepis serangan terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – skandal berhubung kehilangan berbilion ringgit yang dipindah keluar daripada syarikat pelaburan itu ke akaun bank yang uruskan oleh orang kanan perdana menteri termasuk Low Taek Jho yang kini melarikan diri.

Di Malaysia ini tiada sesiapa pun didapati disabitkan atas salah laku di 1MDB namun di Singapura dan di Switzerland, ada bank yang sudah ditutup dan beberapa pegawai bank yang disabitkan kesalahan terlibat membersihkan duit haram dan beberapa kesalahan lain.

Selain tercemar kerana skandal 1MDB, jenama Najib juga tidak popular kerana pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikritik oleh rakyat sebagai punca harga barang naik dan kos sara hidup meningkat.  

“Kita tak akan lihat lagi kempen ala presiden pada PRU14 kali ini,” kata Dr Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya, merujuk kepada kempen BN semasa PRU13 lalu.

“Fokus (kempen) ala presiden tak berkesan apatah lagi imej Najib terpalit terendah dalam titik sejarah politik negara yang dikaitkan dengan isu IMDB dan pengenalan GST yang ditolak sebahagian besar rakyat.

“Ini tidak memungkinkan kempen ala kempen presiden berlaku lagi,” tambahnya.

Dengan PRU14 dijangka diadakan dalam masa tidak sampai 100 hari, bagaimanakah Najib dan BN cuba untuk memenangi hati pengundi terutamanya kelompok yang duduk di atas pagar?

“BN tidak akan mengulangi kempen seperti itu,” kata seorang sumber yang mengetahui gerak kerja kempen BN tetapi enggan namanya didedahkan.

Sumber itu mengakui jenama BN, terutamanya Umno sedang mengalami krisis kepercayaan kerana masyarakat sudah menjadi semakin kritikal terhadap kerajaan.

Katanya, BN kini mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mencorakkan kempennya bagi mendepani pilihan raya kali ini.

Kempen ala presiden makan diri apabila BN kalah lebih banyak kerusi di Parlimen berbanding PRU 2008 dan buat pertama kalinya BN kalah undi popular. – Gambar AFP, 2 Februari, 2018.
Kempen ala presiden makan diri apabila BN kalah lebih banyak kerusi di Parlimen berbanding PRU 2008 dan buat pertama kalinya BN kalah undi popular. – Gambar AFP, 2 Februari, 2018.

Katanya, BN akan berkempen bukan sebagai penyandang yang mahu mendapatkan semula mandat daripada rakyat tetapi sebuah parti yang mahu membetulkan kekurangan atau salah silap yang dilakukan sepanjang menjadi kerajaan.

“Terutamanya, mengatasi kekurangan kepimpinan parti dan kerajaan. Tiada pemimpin yang sempurna dan kali ini BN akan berdepan dengan rakyat dan meminta mereka untuk memberi kritikan membangun supaya kepimpinan boleh menjadi lebih baik,” katanya.

BN akan mengangkat tema bahawa kerajaan tidak berdiri dengan sendiri tetapi membangunkan negara selama ini dengan sokongan dan usaha rakyat.

“Rakyat yang di atas pagar menghargai apa yang kerajaan sudah lakukan selama ini tetapi mereka tidak dapat menerima sikap angkuh pemerintah.

“Bagi mereka kejayaan mereka juga adalah hasil usaha sendiri, bukannya BN 100%,” kata sumber itu.

Beliau merujuk kepada kecenderungan pemimpin BN mengingatkan rakyat bahawa kejayaan mereka dalam ekonomi dan pendidikan misalnya adalah kerana dasar BN yang memerintah.

“Memang betul ada dasar-dasar yang baik tetapi rakyat berjaya dalam ekonomi dan pendidikan sedikit sebanyak kerana usaha mereka sendiri,” tambah sumber itu.

BN akan berkempen bahawa kerajaan dan rakyat tidak boleh dipisahkan, “seperti burung yang hanya boleh terbang jauh dengan sepasang sayap”.

“Adakah BN sempurna? Tidak, BN jauh daripada sempurna. Tetapi BN ada pengalaman dan bersatu,” kata sumber itu.

Inilah yang akan menjadi asas manifesto BN pada PRU14 nanti, katanya.

Selain manifesto di peringkat persekutuan, BN di setiap negeri juga akan menampilkan manifesto masing-masing.

Ditanya apakah manifesto BN kali ini akan mengangkat tema Negaraku, seperti tema beberapa kempen Putrajaya sejak beberapa bulan lalu, sumber itu menegaskan manifesto BN pada PRU14 akan mengetengahkan “rakyat” sebagai tema utamanya.

“Negaraku adalah penjenamaan kerajaan persekutuan, tidak ada kena mengena dengan PRU14,” katanya.

Pada Mac 2017, Najib melancarkan kempen Ekspresi Negaraku bermula di Putrajaya sebelum dibawa menjelajah ke beberapa negeri, bertujuan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli kemudiannya mengkritik ucapan Najib pada pelancaran kempen Ekspresi Negaraku kerana menyamakan diri beliau dengan negara.

Selepas acara Ekspresi Negaraku yang terakhir di Kuching, Sarawak pada awal November lalu, Putrajaya menganjurkan Ekspo Negaraku selama sebulan di Dataran Merdeka yang mempamerkan pembangunan infrastruktur Malaysia masa kini dan akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan ketika itu berkata pameran berkenaan bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat dengan memahami dan menghargai pembangunan yang dikecap selama ini.

Apa yang boleh BN kempenkan?

Awang Azman berpendapat selepas kempen ala presiden pada PRU13 gagal memberikan kesan besar, BN seharusnya berkempen dengan menonjolkan kelebihan calon di sesuatu kawasan yang ditandingi.

Katanya, pendekatan itu lebih realistik dan sangat penting untuk menentukan kemenangan yang BN harapkan baik di peringkat Parlimen mahupun negeri.

“Fokus pada calon di kawasan DUN atau Parlimen lebih berkesan untuk mendapatkan sokongan pengundi,” katanya, dan menambah calon yang dikemukakan seharusnya juga ada kekuatan setempat yang tersendiri sehingga sukar ditolak oleh pengundi.

Pada PRU13, hanya wajah Najib Razak saja yang terpampang pada segala bahan kempen Barisan Nasional. – Gambar EPA, 2 Februari, 2018.
Pada PRU13, hanya wajah Najib Razak saja yang terpampang pada segala bahan kempen Barisan Nasional. – Gambar EPA, 2 Februari, 2018.

Bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, satu lagi aset terbaik yang boleh menjadi asas kempen BN ialah keutuhan parti itu berbanding pembangkang.

“Itu satu cara BN sepatutnya berkempen,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Dengan PRU14 ini dikatakan oleh penganalisis bakal ditentukan oleh pengundi Melayu, kempen BN juga dijangka akan mengangkat isu dan dasar yang menyentuh kepentingan mereka – dengan mesej yang jelas apa akan jadi sekiranya kuasa terjejas di peringkat persekutuan dan negeri.

Kempen PRU14 ini dijangka akan mengetengahkan isu agama dan kaum. Ia juga dijangka akan menonjolkan pencapaian kerajaan dan kemajuan negara.

Tetapi jangan harap akan ada poster Najib di serata tempat, dari pedalaman sampai ke pusat bandar. Jenama Najib Razak kini tidak lagi seperti dulu – dan penasihat strategi BN pun tahu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.