MALTON NAFI BERSAMA DALIAN, KWSP BIDA BANDAR MALAYSIA

Pemaju hartanah Malton Bhd hari ini menafikan pihaknya berunding dengan Dalian Wanda Group dari China dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat tawaran bagi projek Bandar Malaysia.

“Syarikat ini, selepas siasatan yang sewajarnya dengan pengarah dan pemegang saham utama, ingin memaklumkan bahawa ia tiada dalam apa-apa perbincangan dengan pihak-pihak yang disebut dalam pembidaan untuk projek Bandar Malaysia seperti yang dilaporkan,” kata Malton dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Ia merujuk kepada artikel StarBiz berkenaan spekulasi bahawa firma China, yang diasaskan oleh seorang lelaki terkaya di negara itu, Wang Jianlin, sedang membida projek dengan Malton dan KWSP.

Malton diketuai oleh Tan Sri Desmond Lim yang dilaporkan rapat dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Malton dikaitkan dengan projek Bandar Malaysia, dengan spekulasi rakan kongsinya adalah dana harta negara, Qatar Investment Authority. Bagaimanapun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Projek itu akan mengeluarkan tender selepas pembatalan perjanjian bernilai RM7 bilion dengan konsortium yang terdiri daripada China Railway Engineering Corp (CREC) dan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).

Anak syarikat kementerian kewangan, TRX City Sdn Bhd yang memiliki projek itu, berkata konsortium itu gagal menjelaskan pembayaran tetapi perkara itu dinafikan konsortium terbabit.

Projek ini pada mulanya dibangunkan oleh 1MDB.
Penganalisis percaya China mempertahankan Bandar Malaysia kerana ketegangan persaingan dengan Jepun bagi projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura.

China pada mulanya membayangkan projek kereta api itu sebagai sebahagian daripada rangkaian kereta api serantau.

Kenanga Investment Bank Berhad menganggarkan nilai pasaran Bandar Malaysia adalah RM42 juta pada RM2,000 satu kaki persegi.

– M’kini

.