MALAYSIAKINI SOKONG KIT SIANG JADI TPM

KUALA LUMPUR – Portal pro-DAP, Malaysiakini dalam laporannya hari ini menyokong hasrat DAP menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dalam artikel tersebut, Malaysiakini menyatakan, Perlembagaan Persekutuan tidak melarang mana-mana individu bukan Melayu memegang jawatan berke­naan.

“Apa salahnya jika DAP meng­im­pikan menjadi Timbalan Perdana Menteri?

“Menjadi Perdana Menteri pun bukan sutu kesalahan malah tidak dihalang Perlembagaan Per­sekutuan,” lapor portal pro-DAP itu.

Walaupun artikel berkenaan tidak merujuk secara khusus kepada Lim Kit Siang, laporan Malaysiakini itu seperti mengesahkan dakwaan tentang hasrat Penasihat DAP itu untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Seperti yang didedahkan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pada 30 Disember lalu, Kit Siang dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menga­dakan pakatan sulit berhubung jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Dakwa Tunku Abdul Aziz, kedua-dua pemimpin itu menga­dakan perjanjian rahsia di belakang pengetahuan parti-parti sekutu lain khususnya PKR untuk melantik Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri dengan Kit Siang sebagai timbalannya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menempelak pengakuan Dr. Mahathir berhubung DAP pernah meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangannya bahawa ‘perjanjian’ tersebut bakal memberi im­plikasi besar kepada negara.

Pengakuan Dr. Mahathir itu memberi tamparan hebat kepada Kit Siang yang sebelum itu menafikan sekeras-kerasnya beliau pernah mengadakan pakatan sulit dengan bekas Perdana Menteri tersebut.

Reaksi Kit Siang terhadap dakwaan tersebut agak menghairankan kerana beliau mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan akhbar terbitan New Straits Times Press Bhd. (NSTP) yang melaporkan isu berkenaan, bukannya terhadap Tunku Abdul Aziz.

– http://www.utusan.com.my/

.