MALAYSIA TAK PATUT LINDUNGI ‘PENJENAYAH’, KATA MUHYIDDIN

MALAYSIA tidak boleh menjadi negara yang melindungi penjenayah, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia membingungkan bagi penyiasatan Singapura ke atas skandal 1Malaysian Development Bhd (1MDB) mampu menemui salah laku manakala penyiasat Malaysia tidak menemui apa-apa.

Mahkamah Singapura pada Khamis menghukum Yeo Jiawei,  33 tahun, bekas pengurus kekayaan BSI Bank Singapura yang berpangkalan di Switzerland kerana menipu dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan, dalam kes berkaitan siasatan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Tindakan mahkamah Singapura ini adalah konsisten dengan apa yang saya katakan selama ini bahawa terdapat bukti kukuh tentang jenayah penyelewengan wang 1MDB dan mereka yang terbabit mesti didakwa.

“Amatlah menghairankan apabila pihak berkuasa Singapura berjaya menemui bukti untuk mendakwa Yeo dan mensabitkan beliau atas kesalahan jenayah, tetapi Peguam Negara Malaysia tidak menemui apa-apa bukti untuk memulakan proses pendakwaan ke atas penyangak 1MDB di negara ini,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Pihak berkuasa di Singapura juga menghentikan operasi Bank BSI dan Falcon Bank serta mendenda beberapa bank kerana penglibatan dalam skandal pencegahan pengubahan wang haram 1MDB yang melibatkan berbilion ringgit.

“Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB perlu diwujudkan segera untuk menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara ini dan mereka yang terbabit melakukan jenayah, termasuk penjawat-penjawat awam yang melindungi mereka, perlu dihadapkan ke mahkama,” katanya.

– SH

.