MALAYSIA TAK AMAL UNDANG-UNDANG KLEPTOKRASI

KUALA LUMPUR – Umno mempersoalkan tujuan himpunan ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ anjuran Pakatan Harapan yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada guna rakyat berhimpun kerana Malaysia tidak mengamalkan undang-undang kleptokrasi.

“Kleptokrasi adalah satu bentuk undang-undang yang sudah dipratikkan di Amerika Syarikat (AS) dan digunakan apabila melibatkan institusi-institusi AS yang sumbernya dikhuatiri daripada sumber tidak sah termasuk pengubahan wang haram dan sebagainya. Maka undang-undang kleptokrasi menyatakan mereka boleh membuat dakwaan sivil termasuk rampasan sekiranya mahkamah di AS menyatakan dakwaan itu berlaku.

“Yang di Malaysia nak berhimpun dalam konteks undang-undang mana? Apa guna berhimpun kalau tak ada undang-undang kleptokrasi. Atau mereka berhimpun sebab nak pakai undang-undang AS di Malaysia?,” katanya dalam sidang media selepas siri Diskusi Umno Online Anda Tanya Kita Jawab, di sini, hari ini.

Himpunan ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ dianjurkan Pakatan Harapan dengan membawa beberapa tuntutan agar rakyat membuat perubahan pada PRU14.

Antara tuntutan tersebut ialah Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kembalikan aset dan wang rakyat yang dirompak, tangkap MO1 dan bebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, himpunan itu juga diadakan untuk menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Strategi mereka nak teruskan pembunuhan karakter Najib tetapi orang Malaysia ramai yang faham apa itu kleptokrasi,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sekiranya pembangkang ingin mengesyorkan pembentukan undang-undang kleptokrasi di negara ini.

“Mereka boleh bawa ke parlimen dan saya nak sokong. Dalam undang-undang kleptokrasi, aduan sudah cukup untuk ambil tindakan.

“Jadi ia akan mudahkan kerja SPRM kerana mereka sekarang sangat susah nak ambil tindakan terutama perbuatan merasuah secara terancang. Namun, di bawah undang-undang kleptokrasi, cukup dengan ada aduan dan laporan kepada DOJ mereka boleh bawa ke mahkamah dan dakwa secara sivil,” katanya.

Annuar turut menyindir Pakatan Harapan mampu mengumpulkan 2.5 juta orang pada himpunan itu.

“Kalau Pas boleh kumpulkan 150,000 peserta dalam Fastaqim 2.0, saya percaya Sabtu ini ada 2.5 juta peserta akan berhimpun. Pakatan Harapan kan kononnya ada 52 peratus undi popular dan berhimpunan pula di tempat yang mereka ada sokongan kuat.

“Mat Sabu (Presiden Amanah, Mohamad Sabu) saja pun boleh kerah 500,000 ahli Amanah. Jadi saya syorkan PDRM bersiap sedia dan rakyat pula rancanglah perjalanan anda pada Sabtu ini,” katanya.

– Sinar Harian

.