MALAYSIA BUKAN LAGI CONTOH TERBAIK KEPADA NEGARA ISLAM

MALAYSIA perlu kembali kepada tradisinya sebagai negara yang berkompromi, damai, toleransi dan ada rasa belas kasihan dalam Islam kerana ia kini dilihat menyimpang dari laluan itu, walaupun kerajaan menganjurkan kesederhanaan, kata pakar undang-undang perlembagaan terkemuka, Dr Shad Saleem Faruqi.

Profesor di Universiti Malaya yang turut disiasat polis kerana artikelnya mengenai Islam yang disiarkan di akhbar, berkata bapa pengasas Malaysia membina negara ini berbeza daripada negara Islam lain, menjadikan ia satu contoh bagaimana untuk berjaya dalam kehidupan masyarakat majmuk.

“Malaysia menjadi contoh kepada negara ketiga dan negara Islam sehingga 1990-an. Dan selepas itu, kita seperti membuat pusingan-U.

“Saya berharap keadaan akan berubah lagi, kerana salah satu sebab kita dapat mengimbangi agama dengan sekularisme, demokrasi dan pembangunan, ketuanan Melayu dan pada masa sama bangsa lain berpuas hati – saya fikir ia kerana kesederhanaan,” katanya selepas perbincangan meja bulat bertajuk “Does religiosity lead to authoritarianism” di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kertas pembentangannya, Shad berkata budaya Melayu selama ini mementingkan kesederhanaan, perdamaian dan kompromi.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dirangka untuk menekankan kesederhanaan.

“Masalahnya sekarang ialah Malaysia jadi semakin Arab; fesyen terkini sekarang ialah berpakaian seperti orang Arab, berkelakuan macam orang Arab, cakap seperti orang Arab dan menjadikan beberapa negara Arab sebagai penanda bagaimana sepatutnya Islam tu.

“Saya rasa Malaysia semakin melupakan jati dirinya dan apa yang berlaku sekarang ialah peningkatan penubuhan agama,” katanya.

Beliau berkata sejak 1990-an, tafsiran Wahhabi dan Salafi mengenai Islam sudah berpengaruh sehingga menimbulkan kecenderungan dalam kalangan umat Islam di Malaysia menjadikan sesuatu “tidak Islam”.

“Mempersoalkan fatwa ialah kesalahan jenayah dan sudah tentu jika ada cubaan mana-mana pihak untuk murtad, sesetengah negeri akan menghantar mereka ke pusat pemulihan dan ada negeri kata ia satu hinaan kepada Islam dan individu berkenaan boleh dipenjarakan,” katanya.

Pandangan Shad terhadap Islam baru-baru ini menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh Institut Penyelidikan Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berhubung ruangannya di akhbar The Star.

Artikelnya bertajuk “Religious radicalism on the rise” ditulis sebagai respons kepada buku kecil IKSIM yang berhujah bahawa “sekularisme, liberalisme dan perbezaan budaya adalah elemen yang akan merendahkan agenda Islam dan memusnahkan kedaulatan negara”.

Dalam artikelnya, Shad berkata beliau terkejut membaca pandangan IKSIM tentang “perbezaan budaya” sebagai ancaman kepada Islam dan negara.

Shad sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, bagi kesalahan menghina dengan niat untuk provokasi memecahkan kedamaian.

Dalam ceramahnya semalam, Shad berkata walaupun perlembagaan Malaysia membenarkan kebebasan bersuara dan asas hak asasi manusia yang lain, perkembangan terbaru ini membangkitkan persoalan sama ada umat Islam di negara ini dapat menikmati hak itu atau tidak.

“Pada satu masa, semua hak itu ada tetapi kini trend semasa ialah – bab hak asasi, Artikel 5 hingga 13, tidak tersedia untuk umat Islam bila ia membabitkan isu syariah, atau mahkamah syariah.”

Artikel itu meliputi antara lain kebebasan awam, hak kepada kehidupan dan kebebasan, kesaksamaan, kebebasan untuk bergerak, kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan dan kebebasan beragama.

– https://www.themalaysianinsight.com

.