MALAYSIA BEBAS RASUAH JIKA NAJIB LETAK JAWATAN SEKARANG, KATA DR MAHATHIR

DR Mahathir Mohamad hari ini berkata tahap rasuah akan menurun jika Perdana Menteri Najib Razak letak jawatan sekarang.

Mengulas kenyataan bekas menteri kewangan Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas perdana menteri itu berkata lebih baik jika Najib meletak jawatan sekarang.

“Dia (Ahmad Husni) kata bila Najib letak jawatan pada masa itu, tahap rasuah akan menurun. Jadi, lebih baiklah Najib letak jawatan sekarang,” kata Dr Mahathir dalam video yang disiarkan dia halaman Facebook Bersatu.

Kata Dr Mahathir lagi, Ahmad Husni ketika menjadi bendahari Umno lantang bersuara mengenai 1MDB.

Tetapi, kata beliau Ahmad Husni kini sudah membuat pusingan-U.

“Banyak yang akan terjadilah. Ada orang yang ada dosa, dan bila ditunjukkan dosa kepada mereka, mereka akan beralih untuk elak daripada pendedahan dosa. Jadi banyak orang macam tu dalam negara kita ini,” kata Dr Mahathir.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata apabila Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, negara ketika itu akan bebas daripada rasuah.

Kata beliau lagi, hanya Najib yang boleh membawa perubahan dalam negara dan Barisan Nasional (BN).

“Kita bercakap tentang 60 tahun (kemajuan),” kata Ahmad Husni yang ketika itu menteri kewangan kedua sebelum meletakkan jawatan pada 27 Jun tahun lepas.

Beliau melepaskan semua jawatan yang dipegang dalam parti termasuk bendahari Umno dan bendahari BN pada 27 Jun 2017.

Beliau juga meletak jawatan sebagai ketua Umno Tambu serta beberapa lagi jawatan dalam Umno Perak.

Peletakan jawatannya kata Ahmad Husni adalah “seruan Allah” dan menafikan keputusan itu berkait dengan skandal 1MDB.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.