MALAYSIA BAKAL TERBAHAGI DUA DI BAWAH HADI?

CADANGAN  dilontarkan Abdul Hadi Awang untuk membentuk dua set kabinet negara sekiranya parti beliau memenangi pilihan raya ke 14 dilihat satu lagi retorik presiden Pas itu. Cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan tetapi ia sukar untuk dilaksanakan. Mungkin kalau ia dilaksanakan juga, boleh berlaku huhura dalam negara ini.

Cadangan itu juga secara tidak langsung menunjukkan sikap eskstremisme yang cuba dipamerkan oleh Pas di bawah kepimpinan “regimnya”.

Dalam suatu majlis dialog di Pulau Pinang Abdul Hadi dilaporkan berkata Pas akan bentuk dua kabinet, satu kabinet dianggotai oleh orang Islam dan satu lagi kabinet disertai oleh bukan Islam.
Kabinet dianggotai oleh Islam akan bertanggungjawab menggubal dasar dan polisi negara, manakala kabinet dianggotai bukan Islam bertanggungjawab melaksanakan segala dasar-dasar itu.

Kita tahu, tujuan kabinet itu dibentuk bagi menjamin Malaysia bergerak ke arah negara Islam syumul yang difaham dan diperjuangkan oleh parti agama itu. Hadi sangat yakin keIslaman dalam sesebuah negara seperti Malaysia ini bergantung kepada anggota kabinetnya, pembuat dasar. Sekira kabinet itu digabung tidak mungkin elemen Islam dikehendakinya itu tercapai seratus peratus.

Sekali pandang cadangan itu agak praktikal dan adil. Apabila bukan Islam juga dimasukkan dalam kabinet menunjukkan Pas menghormati bukan Islam. Orang bukan Islam dilayan sama adil dengan orang beragama lain, buktinya mereka juga diberi ruang memainkan peranan dalam membina negara melalui tugas dan kuasa yang dibenarkan menurut kepakaran masing-masing.

Tetapi dari sudut semangat pembinaan Malaysia yang telah dipersetujui selama ini, cara pembentukan dua set kabinet itu menunjukkan layanan double standard Hadi (Pas) kepada warga negara ini. Beliau juga meletakkan soal halal haram itu dalam keadaan semua tempat tanpa mengambil kira kerencaman masyarakat negara ini. Maslahat dan keadaan darurat tampaknya tidak dipedulikan. Cadangan itu juga menggambarkan akan keredikalismenya.

Jika boleh diumpamakan apa yang dikehendaki Hadi itu, kabinet Islam itu adalah tukang menyediakan makanan, memasak, mengulai dan tentunya menyembelih haiwan yang hendak digulai itu. Manakala yang bukan Islam hanya juru angkat, atur, susun hias hidangan dan makan sahaja. Manakala semasa lembu hendak disembelih orang bukan Islam hanya juru pegang kaki atau tali sahaja.

Jelas pegangan itu walaupun menepati kehendak Islam tetapi ia bertentangan dengan semangat negara ini yang telah dipersetujui. Ia juga merampas jaminan keadilan dan kebebasan dibenarkan Islam. Ia juga membunuh kebijaksanaan yang dianjurkan Islam sendiri.

Suatu yang perlu diingatkan, sekiranya ia hendak dilaksanakan juga, sistem sedia ada, perlu dirombak dan ini akan mengorbankan banyak keadaan serta memberi berbagai implikasi lain. Tidak mustahil pelaksanaan cadangan itu akan membawa negara ke kancah perang saudara. Orang bukan Islam yang hak dan kedudukan mereka dijamin oleh kitab negara (perlembagaan) akan memprotes sekeras-kerasnya.

Sekiranya cadangan itu dibuat hanya untuk menarik perhatian orang bukan Islam dengan Pas, yang kini sudah kian berundur dari parti itu, ternyata ia gagal untuk mendapat manfaatnya. Orang bukan Islam yang sudah kesekian lama diberi jaminan hak dan kesamarataan tidak boleh menerima cadangan itu sama sekali. Layanan terhadap mereka secara double standard tentu akan ditolak.

Sudah 60 tahun negara ini dibentuk atas semangat satu negara yang didokong berbagai bangsa dan etnik. Bukan mudah untuk ia diperbaiki dan diperbetulkan menurut apa yang kita kehendaki itu. Usaha untuk membaikinya tidak ubah seperti ingin membaiki rumah buruk yang mana bila diusik ia akan jadi bertambah rosak. Ia juga seperti hendak membaiki istana pasir di tepi pantai ketika ombak sedang menderu laju.

Justeru bagi saya, cadangan Hadi itu bukan sesuatu yang praktikal dalam kontkes negara ini. Ia tidak lebih daripada ilusi yang penuh retorik semata-mata daripada seorang pemimpin yang sudah kehilangan kompas dalam masa kudratnya sudah mengecil. Mungkin ia hanya dapat dilaksanakan dalam mimpi tidur Hadi  dan mereka yang bersekutu dengannya sahaja. Dan apa yang dipamerkan itu menyerlahkan siapa Hadi sebenarnya.

Kalau tertakdir ia berlaku, Malaysia akan menjadi negara contoh di dunia ini, dimana dalam sebuah negara ada dua kabinet, Islam dan bukan Islam, yang kemudian kalau Pas terus berkuasa menyebabkan akhirnya Malaysia ini akan dipisah menjadi dua buah negara, satu bahagian mungkin di Pantai Timur menjadi negara Malaysia Islam manakala di bahagian barat menjadi negara Malaysia bukan Islam.

– http://msomelayu.blogspot.my

.