MAKIN TEGANG: HARAP SENGKETA MALAYSIA-KOREA UTARA DISELESAIKAN

SHAH ALAM – Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara dilihat semakin tegang selepas Jabatan Protokol di bawah Kementerian Luar di Pyongyang mengumumkan langkah untuk mengenakan larangan sementara ke atas 11 rakyat Malaysia termasuk tiga kakitangan kedutaan dari meninggalkan negara itu.

Agensi berita rasmi Korea, KCNA dan agensi berita Jepun, Kyodo, semalam, melaporkan kementerian terbabit berharap Malaysia akan menyelesaikan sengketa itu yang berpunca daripada insiden kematian Kim Jong-nam, dengan pendirian muhibah membangunkan hubungan dua hala.

Menurut laporan itu lagi, semua rakyat Malaysia terbabit masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa seperti sebelum ini.
Sementara itu, The Korea Times melihat langkah Pyongyang sebagai ‘mengambil tebusan’ di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat selepas pengusiran kedua-dua duta dari Malaysia dan Korea Utara.
Agensi berita Xinhua di China pula melaporkan Malaysia dan Korea Utara telah mengambil langkah ‘tit-for-tat’ atau bertindak balas yang bermula dengan pengusiran kedua-dua duta yang mengeruhkan lagi hubungan dua hala.

Sebagai respons dengan larangan dikenakan Pyongyang, Malaysia turut melarang kakitangan Kedutaan Korea Utara meninggalkan negara ini.

– Sinar harian

.