MAKAN MASAKAN MAT SABU: TUN M, SENYUM SAMPAI BALIK

KUALA LUMPUR – “Beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) senyum sepanjang masa sampai balik,” demikian kongsi Mohamad Sabu mengenai reaksi Mahathir berhubung hasil masakannya.

Kongsi Presiden Amanah itu, Mahathir kelihatan gembira sepanjang majlis makan malam yang diadakan dirumah beliau di Shah Alam, malam semalam.

Malah, Mohamad atau lebih mesra dengan gelaran Mat Sabu berkata beliau juga akan menjemput pihak media bagi merasai masakan beliau seperti mana yang dihidangkan kepada Mahathir.

“Nanti saya buat makan-makan saya panggil wartawan datang,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah di Kuala Lumpur sambil ketawa.

Semalam, Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Bersatu berkunjung ke rumah Mat Sabu sambil menikmati makan malam di Shah Alam.

Perkongsian foto Mat Sabu di Facebooknya. – Foto Facebook Mat Sabu

Tun Mahathir yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah tiba dengan diiringi pegawai keselamatan.

Dalam pertemuan itu Mat Sabu memasak sendiri lauk-pauk yang dihidangkan.

Antara lauk-pauk yang dihidangkan adalah nasi daging kambing, salad, kambing goreng nampla, gulai ayam serta ikan pekasam serta air asam.

Berkongsi gambar pertemuannya, dengan Mahathir di Facebook miliknya Mat Sabu dipetik berkata, jiran-jirannya turut meraikan kehadiran negarawan itu.

“Terima kasih Tun M dan isteri yang sudi berkunjung ke kediaman saya,” kongsinya di Facebooknya.

– Sinar Harian

.