MAK NYAH TANYA MUFTI ‘SOLAT BAHAGIAN LELAKI KE PEREMPUAN?’

Selepas melawat pekerja seks dan pengguna dadah, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kali ini mengadakan pertemuan dengan satu lagi golongan yang berdepan stigma masyarakat – komuniti transgender.

Menurut posting di laman Facebooknya pagi tadi, pertemuan itu melibatkan golongan transgender sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, dan berlangsung bermula jam 12 tengah hari hingga dua petang semalam.

“Alhamdulillah, semalam merupakan sesi suai kenal yang amat bermakna bagi kami. Banyak maklumat baru yang diperolehi bagi memantapkan lagi kajian dalam isu-isu berkaitan.

“Sesungguhnya kami mengasihi kalian semua kerana Allah,” kata Zulkifli.

Beliau berkata, program suai kenal itu akan diteruskan dengan program susulan yang diharapkan dapat mendatangkan manfaat kepada “kedua-dua belah pihak”.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan bersama posting itu, antara kegiatan yang dijalankan adalah sembahyang berjemaah serta sesi perkongsian dan soal jawab.

Program itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Kesihatan Umum Malaysia (PKKUM) dan disertai NGO antaranya Rumah Solehah, Sister in Islam, Rumah Wake, Pertubuhan Amal Firdausi (Pafi) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur.

Aktivis masyarakat Syed Azmi Alhabshi yang turut bersama program itu pula berkata, perbincangan sekitar pengalaman hidup sebagai transgender di Malaysia.

“Kami berbincang tentang kondom, pekerja seks, kehidupan transgender dan bagaimana stigma memberi kesan kepada mereka,” katanya di Facebook.

Syed Azmi juga berkongsi pengalaman yang menurutnya cukup indah ketika sesi sembahyang berjemaah, apabila soalan pertama yang ditanya hadirin adalah “solat bahagian lelaki ke perempuan?”

Mencintai saudara

“Beliau (Zulkifli) mendengar semuanya dan selepas makan tengah hari, kami sembahyang Zohor bersama-sama. Beliau kasihkan semua manusia, itulah yang dikatakannya,” kata Syed Azmi lagi.

Dengan memetik sepotong hadis Nabi Muhammad, Zulkifli dalam posting di FB itu turut menekankan soal kasih-sayang antara manusia.

“Sabda Nabi bermaksud; ‘Tidaklah seorang dari kalian sempurna imannya, sehingga dia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang dia cintai untuk dirinya’.

“Terima kasih kepada Elisha Kor Krishnan selaku presiden PKKUM yang memulakan langkah membina jambatan persaudaraan ini. Begitu juga kepada Syed Azmi yang menjadi rakan strategik kami dalam memaknai kehidupan bermasyarakan di Malaysia,” katanya lagi.

– M’kini

.