MAJORITI KAUM CINA BERPENDAPATAN RENDAH, KATA AHLI EKONOMI

MASYARAKAT Malaysia membuat rumusan yang tidak tepat dan tidak adil mengatakan majoriti kaum Cina kaya kerana berdasarkan data rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan agensi kerajaan, jurang pendapatan dalam kaum itu kini semakin melebar, kata seorang pakar ekonomi.

Dr Muhammed Abdul Khalid dari DM Analytics berkata data juga menunjukkan majoriti kaum Cina merupakan golongan kelas pekerja yang berpendapatan rendah.

“Apabila kita cakap tentang isu ketaksamarataan atau kemiskinan, jurang antara kaum sebenarnya sudah makin berkurangan jika dibandingkan 40 tahun yang lalu.

“Terkini jurang di antara kaum cina yang paling lebar berbanding kaum lain,” kata Muhammed kepada The Malaysian Insight.

Muhammed merupakan penulis buku “The Colours of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” yang laris di pasaran sejak terbit pada 2014. Terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu “Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia” terbit tahun lalu.

Beliau berkata jurang ekonomi antara kaum Cina kaya dan miskin merupakan tertinggi berbanding kaum Bumiputera dan India.

“Ramai berpendapat orang Cina ini kaya. Ini tidak berapa tepat. Ya betul, ada yang kaya raya, tetapi majoriti kaum Cina di Malaysia makan gaji.

“Peratusannya tidak banyak berbeza dengan golongan Bumiputera yang makan gaji,” kata penulisnya.

Dr Muhammed Abdul Khalid dari DM Analytics berkata tidak adil dan tidak tepat mengatakan majoriti kaum Cina kaya kerana data rasmi menunjukkan jurang pendapatan kaum itu semakin melebar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Januari, 2018.
Dr Muhammed Abdul Khalid dari DM Analytics berkata tidak adil dan tidak tepat mengatakan majoriti kaum Cina kaya kerana data rasmi menunjukkan jurang pendapatan kaum itu semakin melebar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Januari, 2018.

Muhammed berkata menurut data kerajaan, lebih kurang lapan daripada 10 kaum Cina yang bekerja terdiri daripada golongan “makan gaji”.

“Data yang dikeluarkan Jabatan Statistik pada 2016 menunjukkan peratusan kaum Cina makan gaji sebanyak 70% berbanding kaum Bumiputera 72%. Kaum India tinggi sikit iaitu 83%.

“Tetapi majikan kaum Cina lebih tinggi berbanding kaum Bumiputera dan India iaitu 8%. Sementara majikan kaum Bumiputera dan India sama masing-masing sebanyak 3%,” kata Muhammed.

Muhammed berkata pendapatan golongan yang makan gaji ini tidak bertambah kerana apabila syarikat mendapat keuntungan, ia lebih memanfaatkan pemilik dan sedikit sahaja yang akan dinikmati golongan pekerja.

“Sebab itu kita tengok dua minggu lepas bekas timbalan gabenor Bank Negara Lin See Yan mengesahkan apabila pertumbuhan ekonomi berlaku, korporat yang mendapat faedah lebih tinggi daripada pekerja, bukan kepada pekerja.

“Pengagihan pendapatan kepada pekerja masih rendah. Daripada setiap RM1 yang kita dapat, berapa banyak kerajaan ambil melalui cukai, berapa banyak kerajaan dapat, berapa keuntungan korporat?

“Pendapatan kepada golongan pekerja masih rendah berbanding negara kapitalis contohnya seperti Amerika Syarikat, Britain dan termasuk Singapura. Di Singapura share of income dalam ekonomi lebih banyak. Kita tak banyak,” katanya.

Di ambang kemiskinan

Muhammed berkata walaupun kadar kemiskinan mutlak bagi kaum Cina di Malaysia sudah hampir tiada, tetapi ramai yang kini berada di ambang kemiskinan.

“Kemiskinan mutlak bagi kaum Cina menurut data sudah tiada lagi, hanya 0.1%.  Kemiskinan kaum Bumiputera 0.5%, dan India 0.1%. Kadar kemiskinan di Malaysia bawah 1%, atau lebih tepat 0.4%.

“Masalahnya dengan golongan yang vulnerable. Walaupun kadar kemiskinan amat kecil, ramai yang berada di ambang kemiskinan.

“Ini situasi sekarang yang dialami rata-rata rakyat negara kita, tidak kira kaum. Contohnya Cina, separuh daripada pekerja kaum Cina mendapat gaji bulanan kurang RM2,350.

“Tak banyak beza, hanya kira-kira RM400 beza dengan orang Melayu. Majoriti makan gaji dan gaji yang rendah. Bukan RM5,000-RM6,000,” katanya.

Pakar ekonomi berkata walaupun kadar kemiskinan mutlak bagi kaum Cina di Malaysia sudah hampir tiada, tetapi ramai yang kini berada di ambang kemiskinan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Januari, 2018.
Pakar ekonomi berkata walaupun kadar kemiskinan mutlak bagi kaum Cina di Malaysia sudah hampir tiada, tetapi ramai yang kini berada di ambang kemiskinan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Januari, 2018.

Muhammed berkata penilaian tidak tepat yang sering mengatakan majoriti kaum Cina kaya kerana ramai masyarakat melakukan penilaian secara tidak adil.

“Kadang-kadang kita biased. Kita duduk di Bangsar nampak mereka (kaum Cina) bawa Mercedes. Tak betul. Banyak lagi di luar sana yang susah,” tambah Muhammed, yang mendapat julukan pakar ekonomi berjiwa rakyat selepas kemunculannya dalam program bual bicara berkenaan Bajet 2018 di RTM1 dan TV3 menjadi viral tahun lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.