MAJLIS SYURA AKAN PUTUSKAN NASIB PAS, PKR – MURSYIDUL AM PAS

ALOR SETAR – Hanya Majlis Syura Ulama PAS yang akan membuat keputusan sama ada PAS perlu memutuskan hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau sebaliknya, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Beliau berkata walaupun Muktamar Agung PAS penghujung April ini akan memutuskan kata sepakat daripada perwakilan mengenai perkara itu namun ia mesti mendapat keputusan majlis berkenaan selepas itu.

“PAS ada garis panduannya untuk memutuskan sebarang keputusan untuk berkawan dengan siapa, mahu berlawan dengan siapa ataupun mahu berkecuali untuk berkawan.

“Majlis Syura yang akhirnya akan membuat penilaian dan menilai sama ada menerima atau tidak apa-apa ketetapan daripada muktamar nanti.

PAS bukan parti yang bodoh kerana kita boleh menilai sesuatu itu sama ada baik atau tidak,” katanya pada perasmian mesyuarat PAS Kawasan Kuala Kedah di sini, petang ini.

Hashim berkata walaupun ketika ini semua kawasan sedang mengadakan mesyuarat di peringkat masing-masing, terpulanglah kepada mereka membuat usul untuk tidak bersama PKR atau mana-mana parti yang lain bagi dibincangkan pada muktamar nanti.

Katanya biar perwakilan pada muktamar nanti menyuarakan pandangan mereka dan membuat keputusan yang kemudiannya akan dimuktamadkan selepas itu.

Sementara itu, Hashim berkata PAS tidak kisah siapa yang akan bentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.

“Kalau Lim Kit Siang mahu bentangkan pun tidak apa kerana (bekas mursyidul am PAS) Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata PAS menerima sesiapa sahaja yang mahu menolong termasuklah syaitan,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting adalah matlamat untuk memartabatkan Mahkamah Syariah itu tercapai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kerajaan tidak akan membentangkan pindaan RUU itu di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.

Kata Najib ia susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

— BERNAMA