‘Majlis Raja-Raja ada hak’ – Tun M

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 11 Oktober ini akan membuat ketetapan untuk mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Mahathir, beliau telah menghantar surat kepada semua Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri, 4 Oktober lalu bagi memaklumkan usaha yang dilakukan menerusi Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib berundur.

Katanya, surat tersebut turut memaklumkan mengenai perjumpaan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 15 September lalu.

“Setakat ini, saya belum mendapat reaksi daripada Yang di-Pertuan Agong berkenaan perjumpaan tersebut. Tetapi, oleh kerana Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat pada 11 Oktober ini, saya fikir ada baiknya kita hantar surat kepada semua raja-raja.

“Ini untuk memaklumkan kepada mereka mengenai rayuan kita supaya  Majlis Raja-raja ambil tindakan terhadap apa yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif dengan Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak di dalam Perlembagaan untuk bertindak menangani masalah yang dihadapi negara sekarang.

“Khususnya tindakan terhadap Najib kerana telah melakukan banyak kesalahan. Kita jelaskan bahawa dalam Perlembagaan, Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya bertindak terhadap Najib.

“Tindakan ini sama ada menamatkan atau menggantung sementara jawatan Najib sebagai Perdana Menteri sementara satu siasatan diadakan berkenaan tuduhan terhadap beliau. Ini memang terdapat dalam Perlembagaan negara,” dakwa beliau.

Mahathir berkata, beliau yakin Majlis Raja-Raja akan mendengar dan mempertimbangkan rayuan rakyat tersebut.

“Dahulu terdapat pendapat bahawa Raja-raja tiada kuasa lagi. Tetapi ini tidak benar dan sebab itu kita cuba dapatkan tindakan daripada Majlis Raja-Raja kerana mereka ada kuasa.

“Sudah tentulah sebagai raja mereka perlu ambil kira pandangan terhadap apa yang berlaku dalam negara ini,” katanya.

Ditanya perancangan beliau sekiranya usaha tersebut tidak mendapat maklum balas positif Majlis Raja-Raja, Mahathir membayangkan pilihan raya sebagai jalan terakhir.

“Kita memang ada perancangan lain iaitu kita akan cuba bertanding dalam PRU14.

“Ini kita akan adakan satu pakatan antara parti-parti kawan supaya bertanding dalam pilihan raya secara satu lawan satu. Kalau berpecah, kita akan kalah,” katanya.

– Sinar harian

.