MAJLIS GEREJA KUTUK KEJADIAN ‘BOM AIR’ DI PETALING JAYA

MAJLIS Gereja Malaysia (CCM) hari ini meluahkan rasa terkejut dengan kejadian “bom air” di luar sebuah gereja di Petaling Jaya pada Isnin yang mengakibatkan tiga orang cedera.

“CCM mengutuk tindakan jenayah itu yang berlaku di pintu masuk Gereja Luther Centre ketika orang ramai sedang sedang berhimpun untuk menyambut kedatangan Tahun Baharu,” kata setiausaha agungnya Reverend Dr Hermen Shastri dalam satu kenyataan.

Katanya CCM telah memanggil polis meneruskan siasatan dan bertindak terhadap dua kumpulan mat rempit itu memandangkan insiden itu  membahayakan orang yang tak bersalah, selain mengacau tempat ibadah.

“Kami juga menyeru pihak polis untuk meningkatkan pengawalan berdekatan tempat-tempat ibadah ketika cuti umum dan perayaan agama.”

Semalam, Ketua Polis Petaling Jaya Mohd Zani Che Din berkata saksi memberitahu polis yang remaja bermotosikal itu dilihat mengejar satu sama lain sebelum bom air itu dilempar ke depan pintu masuk Gereja itu di Jalan Utara, Petaling Jaya selepas tengah malam itu.

“Siasatan awal mendapati yang ia tiada kaitan dengan gereja tetapi hanyalah provokasi antara dua kumpulan remaja.

“Bom air itu yang dilempar salah satu kumpulan terlibat terkena depan gereja dan satu lagi pada pintu masuk gereja,” kata Zani.

Tiga orang iaitu pasangan dalam usia 40-an dan seorang pelajar Zimbawe cedera dalam kejadian itu.

“Suaminya berumur 48 tahun cedera ringan di belakang badan dan isterinya 45 tahun luka di kening. Pelajar Zimbabwe berusia 25 tahun itu pula cedera di dahi,” katanya lagi.

Bom itu dipercayai diubah suai dari mercun.

“Kami percaya ia tiada kaitan dengan jenayah benci agama. Bagaimanapun, kami sedang cuba mendapatkan rakaman CCTV di kawasan itu untuk siasatan. Kami menggesa orang awam untuk memberikan maklumat kepada kami melalui 03-97662222.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.