MAIN GOLF: SAMPAI SATU PEJABAT PERGI’

SHAH ALAM – Main golf tidak salah, tetapi yang pergi dan bermain bersama adalah kontraktor dan pembekal yang menjadi masalah…

Demikian komentar Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengenai krtitikan sesetengah pihak mengenai cadangan bosnya Datuk Dzulkifli Ahmad yang mengingatkan penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Azam berkata, teguran itu bukan ‘syok sendiri’ sebaliknya beliau mendapat maklumat yang konkrit mengenai senario itu.

“Kadang-kadang dibawanya satu pejabat pergi main golf diluar negara…kita beri cadangan ini berdasarkan risikan, baru kita berani buat teguran,” ujarnya dalam wawancara khas bersamanya menerusi MACC.Fm pagi ini.

Ulasnya lagi, oleh itu beliau menyeru supaya  perkara ini dihentikan serta-merta.

“Pada kami (SPRM) perkara ini perlu dihentikan, ia akan menjejaskan imej,” katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara.

“Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

“Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara ini.

“They are not professionals golfers dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf,” kata beliau dalam wawancara baru-baru ini.

– Sinar Harian

.