‘MAIN BELAKANG’ – MAHKAMAH ARAH KJ BAYAR ANWAR RM210,000

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memfitnah bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kenyataannya “Anwar main dua-dua ikut belakang….” sembilan tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata dakwaan yang dibuat oleh Khairy adalah serius dan memfitnah plaintif. Beliau seterusnya mengarahkan Khairy membayar ganti rugi am sebanyak RM150,000 kepada Anwar.

Hakim Azizul bagaimanapun tidak memberikan pampasan bagi ganti rugi teruk kerana menolak wujudnya niat jahat.

Beliau juga tidak memberikan permohonan perintah injunksi bagi melarang Khairy mengulangi kata-kata itu memandangkan ia diucapkan dalam insiden sembilan tahun lalu dan banyak perkara telah berubah.

Hakim Azizul juga mengarahkan menteri belia dan sukan itu membayar kos RM60,000 kepada Anwar yang sedang meringkuk di PenjaraSungai Buluh atas kesalahan meliwat.

Pemimpin pembangkang itu sebelum ini mendakwa tuduhan berkenaan adalah rekayasa seteru politiknya tetapi kerajaan dan pihak berkuasa menafikannya.

Anwar memfailkan saman RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Khairy berikutan ucapan beliau pada 19 Februari 2008, yang kemudiannya dilaporkan oleh Malaysiakini pada hari berikutnya.

Ketua Umum PKR itu mendakwa ucapan Khairy memberikan gambaran bahawa beliau seorang yang homoseksual.

Khairy adalah Naib Ketua Pemuda Umno pada masa itu dan melancarkan jentera pilihan raya BN Lembah Pantai menjelang pilihan raya umum ke-12.

Khairy sebelum ini berhujah bahawa ucapan beliau bermaksud untuk menunjukkan bagaimana pembangkang – yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat adalah hanya “perkahwinan singkat”.

Beliau menegaskan Malaysiakini melaporkan sebahagian daripada ucapannya tetapi terlepas meletakkan perkataan itu dalam konteks yang betul.

Beliau pada masa itu dilaporkan sebagai berkata, “DAP main PAS dari kanan, PAS main DAP dari kiri, PKR main dua-dua dari belakang!”

Khairy berkata sebelum mengeluarkan ucapan itu, dia juga menekankan bahawa parti pembangkang bersama-sama pada pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Bagaimanapun, beliau berkata kerjasama seumpama itu akan berkecai selepas setiap kali pilihan raya dan tidak terkecuali pilihan raya 2008.

Sebaliknya, beliau berkata, BN berada dalam sebuah gabungan sejak Umno bersama MCA dan MIC pada tahun 1955 dan tidak pernah berpisah sejak itu.

Berdasarkan satu transkrip, beliau kemudiannya berkata, “Tapi pembangkang ini saudara-mara mungkin Datuk Norza tahu istilah ini pembangkang ini dia kahwin muta’ah… Kahwin muta’ah ini saudara-saudara, mazhab Syiah dia mangamalkan kahwin muta’ah. Dia kahwin satu malam, dia main malam tu, esok hari dia cerai, untuk menghalalkan maksiat.

“Parti pembangkang ini dia kahwin muta’ah… dia kahwin PAS main DAP ikut kiri, DAP main PAS ikut kanan, Anwar main dua-dua ikut belakang… lepas tu… bila kalah dia cerai.

“Ini bukan untuk masa depan kita saudara-saudara…”

– M’kini

.