MAHUKAH PKR, BERSATU TERIMA HADI JADI PM?

Pelawaan PAS supaya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyertai Gagasan Sejahtera dianggotainya hanya akan menyebabkan lebih banyak masalah, kata seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, berkata PKR dan BERSATU bakal berdepan kesukaran kerana PAS menetapkan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama mesti menerima kepimpinan parti berkenaan.

“Kalau dilihat kenyataan sebelum ini, (PAS berkata) kalau nak bekerjasama dengan PAS mesti terima kepimpinan PAS.

“Kalau begitu BERSATU dan PKR kerana terima Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai calon perdana menteri.

“Itu juga masalah besar buat kedua-dua parti terbabit kerana syarat PAS sebelum itu ialah, biar PAS memimpin,” katanya pada sidang media di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid berkata demikian mengulas cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyeru PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) serta menyertai blok ketiga yang dianggotai partinya.

Menurut Mohd Amar semalam, pembangkang akan menjadi lebih kuat sekali ganda jika kedua-dua parti terbabit berpisah daripada HARAPAN.

Mengulas lanjut Khalid berkata gabungan pembangkang tanpa DAP juga akan menjadikan usaha mengalahkan BN tidak sempurna kerana hanya akan tertumpu kepada parti yang dominan untuk kaum Melayu saja.

“Saya rasa rakyat Malaysia akan melihat ia (pembangkang tanpa DAP) suatu gabungan tidak sempurna kerana masih terdiri hanya parti Melayu, walaupun PKR ada ahli bukan Melayu.

“Ia tetap menyebabkan rakyat berpecah-belah. Ia bukan alternatif yang sempurna untuk menggantikan BN,” katanya.

Sementara itu, Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam mendakwa, PAS kini sedang memainkan peranan mereka dalam usaha memecah-belahkan gabungan pembangkang.

Katanya, sekiranya pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) berpecah, Umno dan BN akan mendapat manfaat tersebut.
“Bagi saya PAS sedang main peranan yang ditetapkan untuknya sebagai parti untuk pecah-belahkan pembangkang.

“Kalau kita lihat parti lain dah bersatu dalam HARAPAN dan (ada) parti lain (kami seru) untuk bersama, (sebab) AMANAH dan Keadilan (PKR) nak satu padukan pembangkang.

“PAS nak pecah-belahkan. Adalah penting bagi Umno dan BN untuk pembangkang dipecahkan,” katanya.

– M’kini

.