MAHU PANGGIL MAHATHIR DAN ANWAR ATAU TIDAK?

Adakah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang sedang bersidang sekarang bercadang memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Itu kepastian yang cuba didapatkan peguam kedua-dua tokoh terbabit semasa prosiding RCI mengenai forex berlangsung hari ini.

Peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata mereka masih tidak tahu sama ada RCI itu berminat memanggil tokoh terbabit atau tidak.

Untuk rekod Dr Mahathir dan Anwar adalah menteri yang terbabit secara langsung dalam kerajaan semasa skandal dagangan mata wang asing itu berlaku antara akhir 1980-an dan awal 1990-an lalu.

“Kami bertanya kepada pegawai yang terlibat dan mereka tidak mahu mengesahkan kerana katanya, ia adalah keputusan pesuruhjaya RCI.

“Justeru dalam sidang akan datang kami akan bertanya kepada RCI dan meminta mereka menyatakan dengan jelas sama ada Dr Mahathir perlu hadir atau sebaliknya.

“Kalau mereka mahu, beliau akan datang. Kalau tidak beliau tak perlu datang,” kata Haniff Khatri kepada media selepas sesi pendengaran berakhir hari ini.

Menegaskan RCI itu bukan kehendak anak guamnya, Haniff Khatri berkata terserah kepada RCI untuk memutuskan mengenai saksi-saksi yang akan dipanggil.

Peguam Anwar Gurdial Singh Nijar juga berkata pihaknya akan bertanya secara langsung kepada anggota RCI mengenai status anak guamnya.

“Mereka kata, kami akan diberitahu. Kita tidak boleh ada siasatan mengejut. Kita perlu ada siasatan yang terbuka dan telus.

“Mereka bercakap tentang kerugian forex bagi melihat sama ada wujud ketelusan atau tidak. Kalau itu isunya, prosiding ini mesti telus juga,” katanya.

– M’kini

.