MAHKAMAH TOLAK DAKWAAN ZAID ‘SAKITKAN HATI’ NAJIB

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengenepikan dakwaan jenayah ke atas bekas menteri, Zaid Ibrahim berkaitan sebuah catatan blog dikeluarkan pada 2015.

Catatan itu mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dan kaitannya dengan 1MDB.

Dalam penghakimannya, Hakim Zaman Mohd Noor berkata Zaid didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan akta itu memperuntukkan supaya  “mangsa sepatutnya dipanggil (untuk beri keterangan)” bagi mengesahkan sama ada mangsa “tersinggung” dengan catatan itu.

Najib tidak dipanggil sebagai saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kerajaan akan membuat rayuan.

Zaid didakwa menggunakan internet dan berterusan mengeluarkan kenyataan menyinggung menerusi catatan di blognya dengan “dengan niat menyakiti hati orang lain.”

Dalam catatan blognya itu, Zaid mendakwa Najib menghalang siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menggesa rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad bagi menyingkirkan perdana menteri itu.

Shaharuddin sebelum itu berhujah yang kehadiran Najib tidak diperlukan.

Zaman berkata Zaid “dituduh mencadangkan Najib adalah orang merbahaya” di bawah Seksyen 233 (1) (a), yang secara khusus menyebut “orang lain (tertentu)” dan bukannya kumpulan tidak dikenal pasti yang jelik atau tersinggung dengan catatan itu.

“Selepas mendengar keterangan saksi dan bahan bukti, dan selepas mempertimbangkan dengan panjang lebar, saya mendapati yang pihak pendakwaan tidak mempunyai kes prima facie terhadapnya (Zaid),” kata Zaman dalam penghakimannya.

“Kerana itu, saya mengarahkan yang (Zaid) dibebaskan dan dakwaan ke atasnya digugurkan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

“Saya rasa lega. Saya mahu berterima kasih kepada hakim,” kata Zaid kepada wartawan. “Sangat bagus melihat seorang hakim yang jelas dan tak bimbang buat keputusan yang betul. Jadi saya gembira hari ini.”

“Saya fikir ada perkara menarik yang berlaku disebabkan kes ini, yang saya harap akan menjadi penentu kepada kes lain di masa depan di bawah Seksyen 233 (1) (a) yang mereka sentiasa gunakan untuk orang yang mereka tak suka,” kata Zaid lagi.

Catatan blog itu yang bertajuk “Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad”mengandungi ucapan yang disampaikan di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur pada 2 September 2015.

Peguam Zaid, Americk Sidhu berkata Zaid tidak didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (b) yang menggunakan terma “sesiapa sahaja.”

“Jadi itu adalah kejengkelan umum. Dalam kes ini, mereka memilih untuk mendakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a), jadi orang tertentu perlu dipanggil

“Tetapi dalam situasi ini, mereka ada memanggil pelbagai saksi pendakwaan. Tetapi ia bukti bercanggah. Kebanyakan saksi mengatakan mereka tidak jelik dengan ucapan diberikan. Jadi asas penghakiman hakim adalah ia bukan kes prima facie.”

Seksyen 233 (1) (a) adalah untuk melindungi individu daripada buli siber, kata Americk.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a), tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Denda tambahan sebanyak RM1,000 sehari juga boleh dikenakan sekiranya kesalahan diteruskan selepas sabitan bersalah.

– https://www.themalaysianinsight.com

.