MAHKAMAH TINGGI TOLAK INJUNKSI SELANGOR TERHADAP INKUIRI SPR

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan inkuiri tempatan berhubung pelaksanaan persempadanan semula Selangor yang diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Azimah Omar semasa membuat keputusan dalam kamarnya berkata, tiada merit dalam permohonan untuk membolehkannya memberikan perintah injunksi itu.

Peguam kerajaan Selangor, Ambiga Sreenevasan berkata pihaknya sudah membuat permohonan lisan bagi injunksi Erinford (status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan).

“Hakim meminta kami membuat permohonan secara formal, jadi kami akan mengajukan permohonan rasmi bagi injunksi Erinford.

“Itulah arahan saya setakat ini,” kata Ambiga yang hadir bersama peguam Lim Wei Jiet semasa pendengaran di dalam kamar pada jam 9.45 pagi ini.

Dalam permohonannya, kerajaan negeri menyatakan ia hanya diberikan notis enam hari bekerja untuk hadir pendengaran SPR dan hanya 30 minit untuk membentangkan kesnya tanpa wakil perundangan.

Ia mendakwa ini adalah satu pelanggaran terhadap hak perlembagaannya untuk didengar dengan wajar mengenai syor yang dicadangkan.

Sebaliknya, kerajaan negeri meminta tempoh dua minggu untuk menyediakan pembentangan mereka dan sesi tiga jam dengan SPR bersama-sama dengan kehadiran wakil peguam.

SPR diwakili peguam Amarjeet Singh dan Alice Loke.

Amarjeet berkata inkuiri awam tempatan yang diadakan oleh SPR di Hotel Concorde hari ini akan diteruskan seperti biasa.

Bulan lepas, kerajaan negeri kalah semakan kehakiman dalam permohonan untuk mengisytiharkan pelaksanaan persempadanan semula tidak mengikut Perlembagaan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.