MAHKAMAH TIADA KUASA CAMPURI URUSAN PARLIMEN, DUN

PUTRAJAYA – Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan dalaman Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kebal daripada campur tangan badan kehakiman, demikian diputuskan Mahkamah  Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata kekebalan itu timbul hasil daripada doktrin pemisahan kuasa di antara tiga organ utama pemerintahan iaitu badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Tiada keraguan bahawa urusan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah kebal daripada campur tangan badan kehakiman,” katanya dalam membuat keputusan bahawa tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim ketika itu dalam mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang  kosong pada 2011 tidak boleh dicabar di mahkamah.

Hakim Raus berkata Teng telah bertindak mengikut undang-undang di bawah Perkara 69 Perlembagaan Negeri Selangor dalam mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hsiaham Abdullah, kosong pada 19 Jan, 2011.

 “Walaupun perisytiharan itu (untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi) itu dibuat di luar sidang DUN, ia tidak dapat dielak berkaitan dengan urusan penting Dewan Undangan Negeri, yang dibuat dalam parameter yang ditetapkan Perkara 69 Perlembagaan negeri Selangor,” katanya.

Hakim Raus berkata tindakan Teng untuk mengisytiharkan kerusi yang disandang Badrul Hisham kosong adalah dalam tugasnya melaksanakan fungsinya untuk mengawal selia hal ehwal dalaman Dewan Undangan Negeri dan ia kebal daripada dicabar di mahkamah.

Beliau berkata pengisytiharan yang dibuat Teng dalam satu sidang akhbar tidak dapat dielak berkaitan dengan urusan penting sidang Dewan Negeri dan dibuat bagi melaksanakan fungsi pentingnya sebagai Speaker.

Katanya tindakan Speaker tidak boleh diadili dan beliau berhak untuk melindungi hak keistimewaan  Parlimen yang dinikmati Dewan Undangan Negeri seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan  Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Selangor.

Panel mahkamah tertinggi itu yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Abu Samah Nordin membenarkan rayuan Teng untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Badrul Hisham memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jan, 2011 selepas Teng mengisytiharkan kerusi kawasannya kosong berikutan kegagalannya (Badrul Hisham) menghadiri persidangan Dewan Negeri untuk tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Pada 18 Feb, 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan yang menyebelahi Badrul Hisham dan mengisytiharkan beliau kekal sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang.

Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan mahkamah tinggi yang mendorong Teng untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Badrul Hisham dipilih sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

– Bernama

.