MAHKAMAH: SULTAN MIZAN KEKAL PEMERINTAH SAH TERENGGAN

Mahkamah Persekutuan memutuskan Sultan Mizan Zainal Abidin kekal sebagai sultan Terengganu yang sah.

Panel diketuai Ketua Hakim Tun Md Raus Sharif menolak permohonan penangguhan oleh Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, cucunda sulung Tengku Ali Sultan Sulaiman, untuk mencabar Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan kerajaan Terengganu.

Hakim-hakim lain termasuk Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Ramly Ali.

Tengku Ali ialah Sultan Terengganu yang mentadbir dari 26 September 1942 hingga 5 November 1945.

Bagaimanapun, Tengku Ali dijatuhkan oleh penjajah British dan digantikan dengan bapa saudaranya, Tengku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin III, yang kemudian menjadi sultan.

Tengku Sulaiman mendakwa beliau adalah cucu sulung Tengku Ali dan bapanya pula anak sulung Tengku Ali.

Tengku Sulaiman oleh itu mendakwa mempunyai hak ke atas takhta Terengganu dan memohon pengisytiharan untuk dinobatkan sebagai raja yang baru.

Tengku Sulaiman juga menamakan anggota-anggota Dewan Pangkuan Diraja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al Idrus dan Sheikh Harun Sheikh Ismail serta kerajaan Terengganu sebagai respondent-responden.

Dalam penghujahan di Mahkamah Persekutuan, peguam Tengku Sulaiman, T Mura Raju berkata kes anak guamnya berbeza dengan kes Tengku Ali yang difailkan pada 90-an.

Dalam kes itu, Tengku Ali menuntut bayaran pencen daripada kerajaan negeri sebagai bekas pemerintah Terengganu.

“Kes sebelum ini tidak memutuskan tentang isu peralihan kuasa,” kata Mura Raju.

Bagaimanapun Cecil Abraham yang mewakili Dewan Pangkuan Diraja Terengganu memberitahu panel hakim bahawa penghakiman kes Tengku Ali menyebut berkaitan isu peralihan kuasa dan diputuskan bahawa ia tidak tak boleh diadili (non-justiciable).

Justeru, kata peguam itu, prinsip res judicata adalah terpakai.

“Undang-undang berkaitan peralihan kuasa (kerabat diraja) sudah mantap dan tidak boleh diadili oleh mahkamah,” kata Md Raus Sharif.

Panel hakim turut mengarahkan Tengku Sulaiman membayar kos keseluruhan RM30,000 kepada responden-responden.

Mahkamah Rayuan pada 31 Julai lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Terengganu untuk mengetepikan permohonan Tengku Sulaiman atas dasar res judicata dan tidak boleh diadili.

– M’kini

.