MAHFUZ TETAP DITERIMA, CERMAT ELAK PENYOKONG DIPULAUKAN

Biarpun dilemparkan dengan pelbagai kata-kata – malah sesetengahnya bersifat menghina – Datuk Mahfuz Omar berkata, anggota PAS di kawasan diwakilinya memahami keadaan yang berlaku.

Kata anggota parlimen Pokok Sena itu, beliau juga mengadakan perjumpaan mingguan untuk menjelaskan perkembangan semasa serta mengelak sebarang salah faham.

Antara isu yang diperjelaskan, kata Mahfuz, adalah sebab di sebalik mengapa beliau bersikap lantang mengkritik PAS.

Dengan itu, katanya, ahli PAS dapat memahami pendiran yang diambil ketika ini dan bersetuju dengannya.

“Saya tak terkesan dengan kenyataan orang PAS tak anggap saya ahli parti, sebab setiap minggu saya akan adakan perjumpaan dengan ahli PAS di kawasan saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, perjumpaan itu tidak dibuat secara terbuka kerana ada faktor lain yang diambil kira.

Faktor itu ialah aspek keselamatan ahli parti terbabit.

“Depa (mereka) tak akan buat secara terbuka.

“Saya kena jaga depa, kalau tak, mereka nanti kena pulau, kena pecat, kena pinggir daripada masyarakat setempat,” katanya.

Namun apa yang penting, kata bekas naib presiden PAS itu, anggota parti memahami apa yang berlaku selepas diberikan pencerahan.

Sejak akhir-akhir ini Mahfuz menjadi sasaran kritikan beberapa pihak dalam PAS sendiri, termasuk melalui kenyataan mursyidul am parti itu, Hashim Jasin.

Kata Hashim, rata-rata ahli PAS kini tidak lagi boleh menerima Mahfuz sebagai ahli itu ekoran kenyataan serta kritikannya mencerminkan beliau seolah-olah dia berada di luar parti.

Pada pertengahan Februari lalu pula Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menasihati Mahfuz supaya keluar dari PAS daripada terus mengkritik dan menyerang parti itu.

Mahfuz adalah segelintir tokoh dalam PAS yang dilihat tidak sehaluan dengan gerakan arus perdana dalam parti berkenaan dan selalu membuat kenyataan bercanggah dengan pimpinan.

PAS akan mengadakan muktamar tahunannya di Alor Setar, Kedah mulai 27 April ini.
Tindakan Mahfuz berbaik-baik dengan satu lagi parti pembangkang – tetapi menjadi seteru PAS – iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH) juga tidak disenangi pimpinan parti terbabit.

Mahfuz turut membidas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana mendiamkan diri apabila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sebelum usul persendiriannya bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sempat dibahaskan.

Katanya, Abdul Hadi sepatutnya bangun dan mempersoalkan tindakan Pandikar yang tiba-tiba menangguhkan usul berkenaan tanpa sebarang alasan yang kukuh.

– M’kini