‘MAHFUZ SEDANG CARI TEMPAT BERGANTUNG’

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa kedudukan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam parti itu tidak mempunyai peluang yang cerah.

Menurutnya, Mahfuz seolah-olah tidak tahu hendak membuat keputusan.

“Saya sebenarnya kesian tengok sebab beliau (Mahfuz) tak tahu ke mana dan mencari tempat untuk bergantung.

“Namun, bagi saya beliau sudah buat silap. Kalau duduk elok-elok kat Pas, peluang beliau lebih cerah,” katanya ketika temubual eksklusif bersama Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu, Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena, mengkritik tindakan partinya yang tidak menghantar wakil ke majlis perasmian Bersatu di Stadium Malawati menyifatkan, tindakan partinya itu seolah-olah memberi gambaran enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diinginkan rakyat.

Tambah Mohd Amar lagi, beliau melihat bahawa sebab utama Mahfuz masih kekal dengan bai’ah dan sumpah sumpah Pas.

“Saya rasa dia ni takut dengan bai’ah dan sumpahnya sebab itu beliau tidak berani keluar dari parti dan menunggu untuk dipecat.

“Namun, kalau beliau sertai Amanah, secara automatik beliau akan terkeluar daripada Pas sebab dalam Perlembagaan jelas mengatakan jika ahli menyertai parti lain, akan dikeluarkan serta-merta,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau tidak mengulas lanjut sama ada tindakan akan dikenakan pada Mahfuz.

“Kami ahli jawatankuasa Pas pusat tidak masuk campur urusan ahli jawatankuasa disiplin ini, tugas kami hanyalah menyediakan bahan bukti sahaja” katanya.

– SH