MAHFUZ: POLIS TAK TAHU ISA SAMAD SUDAH PULANG?

Polis tidak perlu melengahkan masa lagi untuk memanggil Tan Sri Isa Samad berhubung skandal pemindahan hak milik tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kata anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana bekas pengerusi Felda itu sudah pun pulang ke Malaysia, katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 22 Disember lalu yang polis tidak menolak kemungkinan memanggil Isa untuk membantu siasatan kes itu selepas kepulangannya dari luar negara.

Namun sehari sebelumnya, Isa dilaporkan sudah tiba di Malaysia malah mengelak bertemu wartawan yang menunggunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Secara sinis, Mahfuz (gambar) berkata amat pelik jika media dapat ‘menghidu’ kepulangan Isa tetapi polis tidak.

“Amat mustahil selepas timbulnya isu ini, polis tidak tahu pergerakan dan tarikh kepulangan Isa…media (pula) boleh menghidu ketibaan Isa di KLIA.

“Ilmu ghaib apa yang dipakai Isa hingga polis sahaja yang tak nampak beliau,” katanya.

Beliau mendakwa jika orang biasa yang terlibat dalam perkara itu, dia pasti sudah ditahan sebaik sahaja tiba di KLIA.

“Atau adakah Isa sudah ke luar negara semula?” soalnya.

Felda baru-baru ini dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas sebidang tanah di ibu negara bernilai kira-kira RM270 juta ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa ‘meragukan’.

Tanah bernilai kira-kira RM270 juta itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang melibatkan tujuh menara – termasuk sebuah menara Felda.

Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017. Beliau juga pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Berikutan pendedahan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pihak berkuasa membuat siasatan secara terperinci dan berkata tindakan akan diambil jika terdapat kecuaian atau salah laku dalam pemindahan itu.

– M’kini

.