MAHFUZ: PEMIMPIN PAS KENA CONTOHI TUN M, KIT SIANG

POKOK SENA – Pas sewajarnya menyemak kembali pendirian parti itu berhubung kerjasama dengan  parti pembangkang lain apabila Bersatu sekali lagi memberi tempoh sebulan kepada Pas untuk memuktamadkan kerjasama dengan blok pembangkang.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin Pas harus berjiwa besar seperti dua tokoh yang sebelum ini diibaratkan musuh ketat, namun kini berdamai demi menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan kuasa BN.

“Pemimpin Pas harus berjiwa besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang yang boleh melupakan sejarah hitam antara mereka demi mencapai matlamat sama, iaitu tumbangkan kerajaan BN,” katanya.

Menurutnya, parti itu juga perlu bertolak ansur dalam isu-isu berbangkit antara parti, termasuk kerjasama dengan Amanah dan DAP.

“Perkara yang menjadi halangan patut dibawa dalam rundingan, namun sebaliknya Pas membuat ketetapan muktamad menolak kerjasama, jadi tidak boleh berundur kecuali Pas sanggup ‘telan’ pendirian yang sudah dibuat,” katanya.

Mahfuz berkata, rakyat tidak akan marah malah berbangga sekiranya Pas mampu melupakan sengketa sesama parti lain, dan melupakan kesilapan lalu.

“Kembalilah kepada arus politik perdana dan ke meja rundingan bersama parti pembangkang, kerana masih ada masa,” katanya.

Mengulas sama ada Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang masih mampu membawa parti itu ke landasan seperti dikehendaki ahlinya, Mahfuz sekadar berkias, agar semua pimpinan harus miliki keberanian dan tidak boleh membiarkan parti terumbang-ambing.

– SH

.