MAHFUZ LANGGAR KETERTIBAN SEORANG MELAYU: TENGKU ABDULLAH

KUANTAN – “Hormati orang tua, lebih-lebih lagi ia membabitkan seorang raja, janganlah tak tahu tempat,” tegas Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah demikian ketika mengulas mengenai mengulas rakaman video Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mempersendakan dan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam ceramah politik dan kini menjadi viral di media sosial.

Tengku Abdullah menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik itu yang disifatkan sebagai tidak menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

“Saya tidak mahu cakap pasal itu, pasal ramai yang sudah cakap. Tetapi dilihat daripada percakapannya, dia sudah langgar ketertiban seorang Melayu.

“Sebagai seorang Melayu mungkin yang lebih muda daripada ayahanda saya dan kita selalu diasuh untuk menghormati orang tua lebih-lebih lagi seorang raja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui selepas berangkat melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah di Taman Sungai Isap 2  di sini, hari ini.

Tengku Abdullah bertitah, baginda percaya kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen itu sudah dibuka oleh pihak berkuasa selepas banyak laporan polis sudah dibuat.

– Sinar Harian

.