MAHFUZ: DEPAN CINA MCA CAKAP LAIN, DEPAN MELAYU UMNO CAKAP LAIN

Datuk Mahfuz Omar menyelar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan Anggota Parlimen Pokok Sena itu sebagai mengamalkan kemunafikan politik.

Mahfuz berkata demikian sebagai membandingkan ucapan Najib dalam Perhimpunan Agung MCA dan ucapan perdana menteri itu dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Dalam Perhimpunan Agung MCA, Najib menagih undi daripada bangsa Cina dengan menyakinkan DAP tak dapat memerintah negara walaupun DAP menang lebih besar berbanding PRU ke-13 atau memenangi kesemua kerusi yang ditandingi. Najib Razak minta masyarakat Tionghua bersama BN.

“(Sedangkan) Perhimpunan Agung Umno 2017 menjadi medan untuk Najib menyebarkan ‘fahaman khurafat’ bagi takutkan Melayu kononnya apabila Umno BN tidak lagi berkuasa maka hilanglah kuasa politik Melayu dan Malaysia dikuasai oleh Cina DAP.

“Lalu Najib merayu dengan linangan air mata meminta Melayu pertahankan Umno BN pada PRU14. Inilah kejahatan serta kemunafikan politik sempit Najib Razak dan Umno yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Menurut Mahfuz (gambar), rakyat sudah pandai menilai strategi Najib yang mengamalkan dua sikap politik yang berbeza.

“Rakyat sudah bijak menilai rentak tari Najib Razak yang tempang. Apabila bersikap dengan Cina MCA cakap lain dan depan Melayu Umno cakap lain,” katanya.

Sebelum ini, Najib dalam ucapannya ketika Perhimpunan Agung MCA di ibu pejabat parti itu pada 5 November lalu dilapor berkata DAP tidak mampu menubuhkan kerajaan meski parti itu menang lebih besar berbanding PRU ke-13 dan menyeru agar masyarakat Cina memberi sokongan kepada BN jika ingin diwakili lebih baik.

“Sebab itulah kalau masyarakat Cina nak lebih lagi, tolong sokong BN lebih. Sekarang MCA ada tujuh ahli parlimen sahaja, kalau 15 ahli parlimen lebih kuat,” kata Najib.

Sementara itu, Mahfuz menambah ucapan Najib dalan PAU 2017 sekadar mengulangi ucapan sama sebelum ini dengan menggunakan DAP untuk menakutkan pengundi Melayu.

“Ucapan Najib sekadar mengulagi ucapan sebelum ini sejak dua tiga tahun yang lalu atas isu menakutkan Melayu akan akibat Umno kehilangan kuasa politik pada PRU ke-14 dengan menjadikan DAP umpama hantu yang mengusik di malam hari untuk menakutkan Melayu.

“Ucapan Najib berbaur politik perkauman yang sempit dan bertujuan menimbulkan kebencian antara kaum hanya untuk meraih sokongan undi pada PRU ke-14 nanti.

“Najib Razak hanya mampu mengumpan dengan mendengdangkan Islam,melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai perisai untuk mempertahankan kuasa politik yang penuh dengan kejahatan jenayah rompakan, penipuan,salah guna kuasa,rasuah dan penindasan ke atas negara dan rakyat,” katanya.

Jelas Mahfuz, Najib menggunakan insititusi-institusi yang menjaga kepentingan bumiputera sebagai modal menakutkan pengundi sekiranya Umno BN hilang kuasa sedangkan institusi-institusi itu diganggu gugat oleh kepincangan pentadbiran politik Umno sendiri.

“Najib Razak masih bercakap apa akan jadi pada institusi kepentingan bumiputera dan melayu seperti MARA, Felda dan Tabung Haji andainya Umno BN hilang kuasa.

“Pada hal institusi-institusi ini sedang diganggu gugat oleh kuasa politik Melayu Umno yang memerintah dengan rompakan terancang atas nama perniagaan dan pelaburan yang terselit dengan penipuan yang membodohkan bangsa Melayu dan Umat Islam sehingga dunia luar menggelar sebagai kleptokrat paling teruk.

“Najib Razak tidak perlu malu dan takut untuk menyebut apa akan jadi pada 1MDB jika Umno hilang kuasa. Sudah tentu ke penjara. Terang-terangan 1MDB dirompak oleh MO1,” katanya.

– M’kini

.