MAHFUZ BUKAN AHLI PAS MULAI 11.59 MALAM INI

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengumumkan beliau keluar daripada PAS berkuat kuasa tengah malam ini.

“Hari ini saya akan hantar surat kepada Setiausaha Agung PAS (Datuk) Takiyuddin Hasan.

“Berdasarkan perlembagaan PAS 15(2) maka ini saya zahir pemberhentian sebagai ahli PAS berkuat kuasa 11.59 malam 31 Disember 2017.

“Kenapa saya tak buat pada 12am? Kerana satu minit untuk tarik nafas untuk langkahi 2018,” katanya berseloroh dalam sidang akhbar yang diadakan di Alor Setar hari ini.

Dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di Facebook Amanah negeri Kedah itu, Mahfuz turut menunjukkan kad keahlian PAS yang dimilikinya.

Lakukan untuk umat, negara

Turut sama mengambil keputusan meninggalkan PAS ialah isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata beliau belum memutuskan parti mana yang akan disertainya kelak.

“Biar saya ambil ketenangan untuk ambil keputusan terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya ketika ditanya mengenai jemputan daripada parti-parti lain.

Ditanya apakah beliau akan mempertahankan kerusi Pokok Sena, Mahfuz berkata ia bukan keutamaan buat masa ini.

“Bukan keutamaan saya sejak penyertaan PAS untuk jadi MP atau ADUN. (Saya) lakukan untuk umat dan negara, saya lebih susah hati kalau rakyat tak bagus,” katanya.

Mahfuz sebelum ini merupakan salah seorang pemimpin PAS yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan khususnya AMANAH.

Kecerungan itu menyebabkan beliau digelar sebagai ahli kumpulan ‘Harum Manis’ dalam parti Islam itu.

Harum Manis merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luar tetapi berisi oren di dalam yang terkenal di Perlis.

Pada Oktober lalu, PAS Kedah menggugurkan Mahfuz daripada senarai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

– M’kini

.