MAHDZIR: SAYA TAK PERNAH MINTA GURU BERHENTI JIKA SOKONG PEMBANGKANG

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan laporan berita yang mendakwa beliau memberi amaran kepada guru-guru yang menyokong pembangkang.

Menurut The Star, Mahdzir berkata laporan itu tidak logik dan mungkin disalah tafsir oleh wartawan.

“Mengundi adalah rahsia, jadi bagaimana saya boleh memberi amaran kepada sesiapa yang mahu mengundi pembangkang?” Mahdzir dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian berbahasa Inggeris itu malam tadi.

Sebuah akhbar berbahasa Cina Jumaat lalu melaporkan bahawa guru yang memegang jawatan dalam parti-parti pembangkang perlu meletakkan jawatan kerana kritikan mereka mencemarkan imej kerajaan.

Bagaimanapun, dalam laporan berasingan oleh Bernama, Mahdzir mengingatkan warga pendidik supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

Mahdzir berkata beliau hanya memberitahu penjawat awam, terutamanya guru besar supaya mengambil berat tentang tugas mereka.

“Saya hanya mengingatkan mereka tentang jawatan mereka dan mereka mesti ‘fine tune’ dan meletakkan ‘buffer zone’ antara kerjaya dan ideologi politik mereka.

“Mereka tidak boleh berada di peringkat yang sama dengan pemimpin pembangkang kerana mereka adalah penjawat awam yang bertujuan untuk melaksanakan dasar kerajaan.

“Saya tidak pernah membuat sebarang ancaman atau meminta mereka berhenti jika mereka menyokong pembangkang,” katanya.

Beliau menambah adalah diketahui terdapat guru-guru yang memegang jawatan dalam parti seperti PKR dan PAS.

Namun sebagaimana guru yang menyokong BN, Mahdzir berkata pendidik mesti memberi tumpuan kepada pekerjaan mereka dan tidak menjadikan bilik darjah, perhimpunan sekolah, atau bilik guru sebagai pentas ceramah politik.

“Saya konsisten dalam mesej saya (kepada semua guru) – ingat peranan anda sebagai guru,” katanya.

– M’kini

.