MAHATHIR: TOLONGLAH, ORANG PEKAN

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyampaikan mesej khusus kepada penduduk Pekan, kawasan parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam mesej kira-kira empat minit itu, Mahathir berharap penduduk Pekan menolak Najib pilihan raya akan datang bagi “menyelamatkan negara” ini.

“Sebab itu saya berpendapat bahawa rakyat dan pengundi di Pekanlah yang boleh untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib,” katanya.

“Dia pada tahun 1999 hampir kalah tetapi kali ini penduduk dan pengundi di Pekan berpeluang untuk menyelamatkan negara ini dengan mengalahkan Datuk Seri Najib.”

Pesanan hampir lima minit itu disiarkan dalam video di Facebook parti baru yang diasaskannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Mahathir juga mengingatkan bahawa Najib hampir kalah dalam pilihan raya umum kawasan parlimen itu sebelum ini.

Jika perkara itu benar-benar berlaku, anggota parlimen BN perlu melantik wakil rakyat lain sebagai perdana menteri, walaupun berjaya dalam pilihan raya umum.

Dalam pilihan raya umum 1999, imej Pekan sebagai kubu kuat Najib tercalar apabila beliau hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 241 undi sahaja.

Beliau mendapat 13,148 undi manakala pencabarnya daripada PAS Ramli Mohamed mendapat 12,907 undi.

Sementara itu, Mahathir berpesan supaya pemilih menyokong mana-mana parti lawan yang akan bertanding di Pekan dalam pilihan raya depan.

Harap sihat, terus perjuangan

Di samping mendoakan kesihatan buat penduduk kawasan itu, Mahathir juga berharap golongan itu “meneruskan perjuangan” untuk bangsa dan negara.

Beliau bagaimanapun mengaku menyanjung bapa Najib, Tun Razak, yang juga perdana menteri kedua yang disifatkan sebagai ikonnya.

“Dengan itu saya pun (sebelum ini) sokong Datuk Seri Najib supaya dia juga dapat menjadi PM, tetapi setelah dia menjadi PM, tingkah laku dan perbuatannya amat berbeza daripada bapanya Tun Razak,” katanya.

Mahathir turut mengingatkan berkaitan isu dana RM2.6 wang ke dalam akaun peribadinya dan dakwaan skandal berkaitan 1MDB.

Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.

– http://www.malaysiakini.com

.