MAHATHIR TERGURIS HATI DENGAN PAS – ANUAR TAHIR

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin berkecil hati dengan sikap PAS yang selama ini yang sering mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga mengguris hati.

Setiausaha Agung AMANAH Anuar Tahir berkata, perkara itu mungkin menyebabkan Dr Mahathir sehingga sanggup berkata bahawa beliau ‘takkan mahu cium kaki pemimpin PAS’.

“Mungkin Dr Mahathir kecil hati kerana hubungan dia dengan PAS dah lama, bukannya baru.

“Dr Mahathir pernah ketika dipecat dari Umno dan selepas itu terus naik pentas PAS ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kapar.

“Jadi bila (PAS) buat kenyataan (sakitkan hati), Dr Mahathir sampai sangguplah kata (takkan mahu cium kaki pemimpin PAS).

“(PAS), hormatlah maruah Dr Mahathir sebagai mantan perdana menteri,” kata Anuar pada sidang media di Kuala Lumpur.

Semalam Dr Mahathir selaku pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, tempoh sebulan yang diberikan kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada mahu bersama pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah mencukupi.

“Kami telah cuba untuk menyelesaikan (kebuntuan) ini. Kami amat bersabar. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk tentang PAS. Kami telah melakukan segala yang mungkin.

“Apa lagi boleh kita lakukan. Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS. Cukuplah,” kata Mahathir.

Bagaimanapun Ahad lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya tidak memerlukan tempoh sebulan memandangkan dasar parti Islam itu sangat jelas iaitu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Sementara itu Anuar berkata pihaknya akan mengemukakan jumlah calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada rakan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam masa dua minggu dari sekarang.
Katanya, AMANAH kini sedang mengkaji dan mengadakan rundingan bersama rakan HARAPAN yang lain mengikut kemampuan calon masing-masing.

“Saya tak boleh jawab berapa yang akan bertanding tapi ikut kemampuan, jentera dan kajian yang kita ada.

“Kalau ada berlaku pertindihan, kita boleh bincang dan dalam masa dua minggu ini AMANAH boleh bagi angka nak bertanding kepada rakan-rakan (HARAPAN),” katanya.

– M’kini

.