MAHATHIR SOLAT HAJAT UNTUK ANWAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Siapa yang mudah melupakan bagaimana mata kiri Anwar lebam selepas ditumbuk ketika ditahan polis.

Selepas dibicarakan Anwar dijatuhi hukuman penjara pada 1999, dan perdana menteri Malaysia ketika itu tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir.

Ia adalah detik mencetuskan reformasi dan bagi penyokong gerakan itu, Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab memenjarakan Anwar.

Malam ini Dr Mahathir – yang dipisahkan jarak kira-kira 50 kilometer dengan Anwar – berdiri bersama orang ramai mengadakan sembahyang hajat mendoakan pembebasan bekas ketua pembangkang tersebut dan menyelamatkan Malaysia.

Dr Mahathir hadir bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bandar Baru Bangi, manakala Anwar masih terpenjara di Sungai Buloh.

Selepas solat Isyak Dr Mahathir turut berpeluang memberikan ‘tazkirah’ kepada orang ramai yang memenuhi dewan sembahyang di majlis anjuran Akademi Ulum Munawwarah itu.

Pada usia 92 tahun bekas presiden Umno selama 22 tahun itu menghabiskan masa kira-kira 40 minit memberikan ucapannya.

Kata Dr Mahathir untuk membebaskan Anwar orang ramai tentu tidak boleh menyerbu Penjara Sungai Buloh. Sebaliknya kata beliau apa yang boleh dilakukan ialah menukar kerajaan sedia ada melalui pilihan raya.

“Kalau kita tukar kerajaan, kerajaan (yang baru) boleh ambil tindakan untuk membebaskan Anwar,” katanya.

Kini menjadi salah satu watak terpenting dalam gerakan pembangkang Dr Mahathir kemudian mengkritik Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya melakukan pelbagai salah laku.

Untuk mengubah kerajaan katanya ia tidak boleh dilakukan dengan hanya berdoa.

Justeru kata Dr Mahathir penyokong pembangkang mesti bersatu padu dan berusaha.

“Setiap yang kita minta daripada Allah, kita kena usaha (untuk dapatkan).

“Kalau nak tunggu ia datang bergolek, datang melayang – itu memang tidak akan berlaku. Kita kena usaha,” katanya.

Sebelum itu Dr Wan Azizah serta Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara Abdul Ghani Shamsuddin turut menyampaikan sedikit ucapan.

– M’kini

.